TAWAU: Seorang anggota polis berdepan detik cemas apabila dipukul dan cuba ditenggelamkan seorang suspek kes samun bersenjata yang bertindak agresif ketika operasi tangkapan di Kampung Titingan, di sini, pada 9 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dipercayai cuba melarikan diri dengan terjun ke laut selepas bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi.
Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas selepas polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi mengawal keadaan. Insiden berkenaan turut menyebabkan dua anggota polis mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan menjalankan operasi mengesan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata serta cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun.
Menurutnya, kes berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.50 pagi pada hari yang sama.
“Dalam kejadian samun itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500.
“Ketika operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.
“Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Polis Perjelas Video Tular
Dalam pada itu, Rosdi turut menjelaskan bahawa video kejadian yang tular di media sosial memaparkan tindakan polis melepaskan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu.
Beliau menegaskan rakaman berkenaan bukan kejadian berbalas tembakan atau insiden baharu seperti yang mungkin disangka orang ramai.
“Video berkenaan bukan kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu seperti yang mungkin disangka orang ramai,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala usaha mengesan dua lagi suspek yang masih bebas sedang diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norhafizah Hussin, menerusi talian 012-527 9004 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular itu dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.