Rumah disyaki dijadikan stor ketum di Tawau, warga emas dicekup polis

Polis menahan seorang warga emas selepas menemui sejumlah daun ketum dan air ketum dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Kampung Kinabutan Besar Batu 5, Jalan Apas, Tawau pada Isnin.

Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau itu dilakukan sekitar jam 2.30 petang hasil risikan pihak polis di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lelaki tempatan berusia 64 tahun itu ditahan di sebuah rumah selepas pemeriksaan menemukan bekalan ketum disimpan di bahagian dapur.

“Polis merampas satu guni berisi daun ketum seberat 5,572.29 gram dan empat botol cecair disyaki air ketum berjumlah 10.5 liter,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM510.10.

Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang individu yang dikenali melalui Facebook dengan harga RM70 sekilogram.

Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.