Nahas depan Rastamas Tawau ragut nyawa remaja, penumpang Axia tersepit

Nahas depan Rastamas Tawau ragut nyawa remaja, penumpang Axia tersepit

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal Honda RS yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di hadapan Rastamas, Batu 3, Jalan Apas, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

Kemalangan itu turut menyebabkan dua wanita masing-masing berusia 31 dan 40 tahun mengalami kecederaan ringan, termasuk seorang penumpang yang tersepit di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.

nahas

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang penumpang wanita masih tersepit di dalam kereta, manakala pemandunya berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.01 tengah hari sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat yang turut mendapat bantuan polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.14 tengah hari selepas pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan.