TAWAU: Keluarga Nurin Hasiqah Mohamed Sirajudeen, 21, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi di Jalan Airport Lama, di sini, pada 21 Oktober lalu, merayu orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan dakwaan tidak benar mengenai kejadian itu.
Rayuan berkenaan disuarakan kakak sulung mangsa menerusi satu kenyataan di media sosial bagi menjelaskan keadaan sebenar yang diketahui keluarga, selain meminta orang ramai menghormati privasi mereka yang masih bersedih atas kehilangan insan tersayang.
Menurutnya, Nurin bukan sahaja seorang adik yang disayangi, malah turut memainkan peranan penting dalam keluarga, khususnya dalam menjaga adik bongsu mereka, Humaira, 17, yang terlantar akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak enam bulan lalu.

Katanya, Humaira kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di hospital dan Nurin merupakan individu yang menemaninya sepanjang tempoh rawatan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, kakak mangsa menjelaskan bahawa kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan ketika melalui Jalan Airport Lama.
Beliau turut mendakwa keadaan jalan yang teruk dan gelap, selain faktor keletihan serta kekurangan tidur, dipercayai antara perkara yang mungkin menyumbang kepada kejadian itu.
Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih perlu dirujuk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik arwah, yang disifatkannya sebagai seorang insan baik dan disenangi ramai.
Menurutnya, pemergian Nurin meninggalkan kehilangan besar buat keluarga, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang berdepan ujian kesihatan yang dialami Humaira.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau supaya memberi perhatian segera terhadap keadaan jalan di lokasi kejadian dan mengambil tindakan penambahbaikan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berharap kejadian berkenaan menjadi peringatan kepada pihak bertanggungjawab agar keadaan jalan yang berisiko dapat ditangani bagi mengelakkan kemalangan seumpama itu berulang.
Kakak mangsa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan arwah serta memohon agar keluarga mereka diberikan ruang dan masa untuk menghadapi kehilangan berkenaan.
Beliau berharap segala urusan keluarga dipermudahkan dan doa yang diberikan menjadi kekuatan buat mereka dalam menempuh dugaan itu.