Tragedi kebakaran Hilltop: Kanak-kanak 12 tahun ditemukan maut, 30 rumah musnah

Tragedi kebakaran Hilltop: Kanak-kanak 12 tahun ditemukan maut, 30 rumah musnah

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran besar yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru, Hilltop, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Jackson Zack, ditemukan pasukan bomba di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi ketika pemeriksaan lanjut dilakukan selepas kebakaran berjaya dikawal.

Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian dan mendapati enam rumah jenis separuh kekal serta tidak kekal sedang terbakar.

Bagaimanapun, api merebak dengan pantas sehingga mengakibatkan keseluruhan 30 rumah musnah berdasarkan perkembangan operasi pada jam 8 pagi.

“Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, pasukan bomba menemukan seorang kanak-kanak lelaki di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Moiley berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain, selain laluan masuk yang sempit sehingga menyukarkan pergerakan jentera dan anggota penyelamat.

Keadaan turut menjadi lebih mencabar apabila tiada pili bomba berhampiran lokasi kejadian, menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan sumber air alternatif serta mengatur beberapa aliran air bagi mengawal kebakaran.

kebakaran

Seramai 48 anggota bomba dengan bantuan 14 anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan terbabit dalam operasi berkenaan.

Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity.

Menurut Moiley, kebakaran memusnahkan kawasan seluas kira-kira 7,124.84 meter persegi, selain sebuah kereta Perodua Kancil turut hangus sepenuhnya.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke kawasan lebih luas apabila kira-kira 250 rumah berhampiran berjaya diselamatkan.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8 pagi, sebelum pasukan bomba meneruskan kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api atau mangsa lain di lokasi kejadian.