Cubaan dua individu dipercayai mahu “menyelesaikan” kes rampasan daging haiwan dilindungi dengan menawarkan wang rasuah kepada pegawai penguat kuasa memakan diri apabila kedua-duanya diberkas SPRM dalam operasi khas di Tawau.
Suspek yang merupakan pemilik dan pengurus sebuah resort di Semporna itu ditahan selepas dipercayai cuba mempengaruhi pengadu supaya menukar sampel daging yang dirampas dalam satu pemeriksaan sebelum ini.
Menurut maklumat siasatan, tawaran rasuah berjumlah RM50,000 itu dipercayai dibuat bagi mengelakkan tindakan lanjut terhadap sampel berkenaan yang sedang disiasat kerana disyaki melibatkan haiwan dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Difahamkan, usaha mempengaruhi pengadu terbabit bermula menerusi perbualan WhatsApp pada 19 Mei lalu sebelum satu pertemuan diatur di sebuah restoran di Tawau.
Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dihidu SPRM yang kemudian melancarkan “Ops Seawind” bagi memantau pergerakan mereka.
Dalam operasi itu, seorang suspek ditahan kira-kira jam 9.30 malam selepas dipercayai menyerahkan wang tunai RM10,000 kepada pengadu terbabit sebagai sebahagian daripada sogokan dijanjikan, manakala seorang lagi individu turut diberkas tidak lama kemudian bagi membantu siasatan.
Kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman dan suspek diperintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.