Dari Tawau ke podium dunia, Surianti raih tempat ketiga di kejohanan memanah Korea Selatan

Dari Tawau ke podium dunia, Surianti raih tempat ketiga di kejohanan memanah Korea Selatan

TAWAU: Penyertaan tujuh atlet Persatuan Memanah Tradisional Daerah Tawau (PERMATA) membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Memanah Tradisional Dunia 2026 di Ulsan, Korea Selatan, membuahkan hasil membanggakan apabila pemanah tradisional Sabah, Surianti Binti Umar, berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Tarsca Shield 90 meter.

Kejayaan itu dicapai pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia WTAF 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 4 November ini, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa.

dunia

Tarsca Shield merupakan salah satu disiplin memanah tradisional yang berakar daripada tradisi Hungary. Dalam acara berkenaan, pemanah perlu melepaskan anak panah ke arah sasaran berbentuk perisai pada jarak 90 meter.

Pencapaian Surianti membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing dalam disiplin memanah tradisional di peringkat dunia, selain menjadi dorongan kepada lebih ramai pemanah dan atlet muda untuk menceburi sukan berkenaan.

Kejohanan yang menghimpunkan pemanah tradisional dari lebih 40 negara itu turut menjadi medan kepada tujuh atlet PERMATA untuk membawa cabaran Malaysia serta menimba pengalaman dalam persaingan antarabangsa.

Kejayaan itu turut mencerminkan potensi atlet dari Sabah, khususnya Tawau, untuk terus diketengahkan dalam sukan memanah tradisional.

Dalam pada itu, penghargaan turut diberikan kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang juga Penaung PERMATA, atas sokongan diberikan kepada rombongan persatuan itu sepanjang penyertaan di kejohanan berkenaan.

Kejayaan Surianti diharapkan menjadi inspirasi kepada atlet lain untuk terus berusaha meningkatkan prestasi, sekali gus membawa nama Sabah dan Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam arena sukan antarabangsa.