“Saya tidak ingin dedahkan banyak, tapi Belanjawan Negeri 2027 sediakan penyelesaian isu air, elektrik dan jalan raya” – Hajiji

“Saya tidak ingin dedahkan banyak, tapi Belanjawan Negeri 2027 sediakan penyelesaian isu air, elektrik dan jalan raya” – Hajiji

KOTA KINABALU – Belanjawan Negeri Sabah 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada 4 Disember depan dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam menangani beberapa masalah asas yang masih dihadapi negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, belanjawan berkenaan akan menyediakan penyelesaian terhadap isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang menjadi antara keperluan utama rakyat Sabah.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perincian mengenai belanjawan itu sebelum pembentangan rasmi dibuat.

“Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan, tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia merupakan belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.

“Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Deepavali di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, pada Ahad.

Dalam pada itu, Hajiji berharap sambutan Deepavali membawa cahaya kebaikan dan keberkatan bukan sahaja kepada masyarakat India, malah seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Menurutnya, semangat masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama merupakan gambaran perpaduan yang perlu terus dipertahankan.

“Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat, sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama.

“Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Terdahulu, Hajiji bersama isterinya, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag, menyempurnakan upacara memotong kek sempena sambutan Deepavali itu.

Majlis berkenaan turut diiringi Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (SICC), Datuk V. Jothi serta tetamu kehormat lain.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyampaikan sumbangan daripada SICC kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home di Tuaran.

Sambutan Pesta Cahaya anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan SICC itu dihadiri lebih 1,400 tetamu, termasuk pemimpin kerajaan negeri, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, barisan Menteri Kabinet Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.