“GST belum sesuai, pendapatan minimum rakyat perlu cecah RM4,000 dahulu, baru kita kaji” – Anwar

“GST belum sesuai, pendapatan minimum rakyat perlu cecah RM4,000 dahulu, baru kita kaji” – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana sistem percukaian itu dikhuatiri memberi beban lebih besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila tahap pendapatan rakyat lebih baik, termasuk apabila pendapatan minimum mencecah RM4,000.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung pendirian kerajaan untuk tidak mengembalikan GST serta kesesuaiannya dari sudut ekonomi.

Anwar berkata, perbezaan utama antara GST dan SST ialah GST merupakan cukai menyeluruh yang dikenakan kepada pengguna, manakala SST lebih tertumpu kepada sektor perniagaan walaupun sebahagian kosnya boleh dipindahkan kepada pengguna.

Menurut beliau, kira-kira 2,000 jenis barangan dan perkhidmatan dikecualikan cukai di bawah SST, berbanding kurang daripada 750 jenis di bawah GST.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil kutipan SST ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar yang sama seperti hasil kutipan GST pada 2017.

Justeru, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa pelaksanaan semula GST semestinya akan meningkatkan hasil kerajaan, sedangkan sistem itu turut melibatkan pengguna secara menyeluruh.

Kerajaan terbuka tambah baik SST

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak menolak usaha memperbaiki sistem percukaian sedia ada, termasuk membuat penyesuaian bagi menangani isu cukai berganda yang dibangkitkan pihak industri.

Katanya, penambahbaikan boleh dilaksanakan dalam kerangka SST tanpa perlu kerajaan kembali menggunakan GST.

“Saya bukan dogmatik dalam ekonomi. Sistemnya masih SST, tetapi satu dua penyesuaian supaya perbaiki sistem itu, baik. Mengapa kita tak mahu?” katanya.

Beliau turut menegaskan keputusan untuk tidak memperkenalkan semula GST bukan disebabkan pertimbangan politik, sebaliknya mengambil kira keadaan ekonomi dan kemampuan rakyat ketika ini.

Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin mengetahui sama ada keengganan kerajaan mengembalikan GST berpunca daripada pendirian politik kerajaan terdahulu atau pertimbangan ekonomi, termasuk isu cukai berganda di bawah SST.

Anwar berkata, kerajaan perlu memastikan rakyat tidak menanggung beban cukai yang lebih besar ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan GST boleh menyebabkan beban cukai yang sebelum ini ditanggung sektor perniagaan dan pengeksport dipindahkan kepada pengguna secara lebih meluas.

SST kekal sebagai sistem percukaian negara

Sehubungan itu, kerajaan akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian negara buat masa ini, selain meneliti penyesuaian yang boleh meningkatkan keberkesanannya.

Anwar berkata, pelaksanaan semula GST hanya boleh dipertimbangkan apabila pendapatan rakyat mencapai tahap lebih munasabah, dengan memberikan contoh pendapatan minimum sekurang-kurangnya RM4,000.

Beliau menegaskan isu kos sara hidup dan tahap pendapatan semasa perlu diambil kira sebelum kerajaan mempertimbangkan cukai yang bersifat menyeluruh seperti GST.

Kenyataan tersebut sekali gus memperlihatkan pendirian kerajaan untuk mengutamakan kemampuan rakyat sebelum sebarang perubahan besar terhadap sistem percukaian negara dipertimbangkan.

Sumber : BERNAMA