Bukan sekadar menawan Kinabalu, Menteri Agama turut bawa misi memasang penanda arah kiblat untuk pendaki

Bukan sekadar menawan Kinabalu, Menteri Agama turut bawa misi memasang penanda arah kiblat untuk pendaki

KUNDASANG: Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah membawa mesej kebersamaan dan penghayatan terhadap kebesaran ciptaan Allah SWT.

Misi pendakian itu berjaya disempurnakan dengan semangat kerjasama, keazaman dan ketabahan, selain menjadi platform memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga agensi agama yang menyertainya.

Menariknya, program berkenaan turut disertai inisiatif penempatan penanda arah kiblat di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian bagi membantu memudahkan urusan ibadah umat Islam.

arah kiblat

Penanda arah kiblat itu terlebih dahulu disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah bagi memastikan ketepatannya sebelum ditempatkan di lokasi berkenaan.

Selain aktiviti pendakian, program itu turut merangkumi sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan kepada malim gunung di Kinabalu Park sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat dan peranan mereka dalam membantu serta menjaga keselamatan pendaki.

Warga agensi agama turut mengadakan program bersama komuniti di Kampung Mesilou, Kundasang, sekali gus mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.

arah kiblat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam perkongsian berhubung program itu merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou, atas kerjasama menjayakan keseluruhan misi berkenaan.

Program itu diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan antara agensi agama dengan masyarakat serta menyuburkan usaha dakwah dan khidmat kepada komuniti.