TAWAU: Seorang pemunggah barang yang dijatuhi hukuman penjara lima bulan atas kesalahan memasuki negara ini tanpa pas masuk sah dilepas dan dibebaskan serta-merta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas disahkan sebagai warganegara Malaysia.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Tawau pada 20 Oktober lalu terhadap Azlanshah Mahathir, 24, selepas membenarkan permohonan semakan jenayah yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji.
Mahkamah turut memerintahkan nama tertuduh yang sebelum ini direkodkan sebagai “Azlan Shah Mahadir” diperbetul mengikut nama sebenarnya dalam setiap rekod mahkamah dan dokumen berkaitan.
Permohonan semakan jenayah itu dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah susulan pengesahan identiti serta kewarganegaraan tertuduh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Berdasarkan permohonan berkenaan, Jabatan Penjara Malaysia Tawau menerusi surat bertarikh 5 November lalu memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berhubung hasil semakan cap jari biometrik tertuduh di JPN Daerah Tawau.
JPN mengesahkan nama sebenar lelaki itu ialah Azlanshah Mahathir dan bukannya Azlan Shah Mahadir, yang juga seorang warganegara Malaysia.
Susulan pengesahan itu, pihak pendakwaan menyatakan tiada kesalahan dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Justeru itu, pertuduhan dan sabitan terhadapnya adalah tidak sah.
Terdahulu, lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau pada 20 Oktober lalu atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa memiliki pas masuk sah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah ketika itu menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula tarikh tangkap pada 11 Oktober lalu dan memerintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Dia kemudian dibawa ke Penjara Pusat Tawau bagi menjalani hukuman berkenaan sebelum pihak pendakwaan mengemukakan permohonan semakan jenayah itu.