SK Batu 38 jadi sekolah angkat HASiL 2026, RM100,000 disalur untuk tingkat kualiti pembelajaran

SK Batu 38 jadi sekolah angkat HASiL 2026, RM100,000 disalur untuk tingkat kualiti pembelajaran

SABAK BERNAM – Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, Sabak Bernam dipilih sebagai sekolah angkat menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) HASiL 2026 dengan peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyokong pembangunan murid dan warga pendidik.

Inisiatif oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan sekolah serta memenuhi keperluan pendidikan yang dikenal pasti bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dan pihak sekolah.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan utama dan bilik muzik, penyediaan peralatan sukan, televisyen serta sistem siar raya. HASiL turut menganjurkan kursus peningkatan kompetensi guru sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran di sekolah berkenaan.

hasil hasil

Peruntukan RM100,000 yang disalurkan melalui program itu telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan dan meningkatkan kemudahan pendidikan SK Batu 38.

Pelaksanaan program yang bermula pada Ogos 2026 itu turut meliputi beberapa aspek pengurusan dan pendidikan sekolah, termasuk pentadbiran, kurikulum, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Hal Ehwal Murid (HEM) serta kokurikulum.

hasil

Pendekatan tersebut membolehkan bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sekolah secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, malah turut memberi perhatian kepada perkembangan murid dan warga pendidik.

Selain penambahbaikan kemudahan, HASiL turut mengadakan Program Sahabat HASiL yang melibatkan lebih 60 murid menerusi sesi sembang percukaian, tayangan video dan permainan interaktif.

Program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai peranan cukai dalam pembangunan negara serta kaitannya dengan penyediaan kemudahan awam yang dinikmati masyarakat.

hasil

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, penglibatan organisasi dalam program berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat, khususnya dalam menyokong persekitaran pendidikan yang membantu perkembangan murid dan warga pendidik.

Beliau turut menegaskan pembangunan negara memerlukan komitmen pelbagai pihak, manakala pendidikan menjadi asas dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran dan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai rakyat.

Majlis perasmian SAM HASiL 2026 di SK Batu 38 disempurnakan oleh Abu Tariq. Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Marhani M. Haniff; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, Shahrul Niza Bishahrin; serta Guru Besar SK Batu 38, Mohd Khairul Rizal Othman Odanu.

SK Batu 38 merupakan sekolah kedua yang menerima pelaksanaan inisiatif berkenaan selepas program sama diadakan di SK Kuala Perlis, Perlis pada 7 Ogos lalu.

Melalui Program Sekolah Angkat MADANI, HASiL meneruskan penglibatan dalam menyokong pembangunan pendidikan dengan memberi perhatian kepada keperluan sekolah serta manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.