PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag Ditetapkan 24 Januari 2026

KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah akan diadakan pada 24 Januari 2026, susulan kekosongan luar jangka berikutan pemergian Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas SPR yang berlangsung pada 16 Disember 2025, selepas menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025.

kinabatangan
Ihsan Gambar : Astro Awani

Menurut SPR, Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 10 Januari 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari 2026. Tempoh berkempen pula diperuntukkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam, 23 Januari 2026.

SPR turut memaklumkan bahawa urusan permohonan undi pos bagi semua kategori dibuka bermula 16 Disember 2025 dan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian. Tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 6 Januari 2026 bagi kategori warganegara di luar negara dan agensi, manakala kategori petugas pilihan raya, anggota keselamatan serta petugas media ditutup pada 8 Januari 2026.

Baca Juga : Sabah Agro Tourism Angkat Keistimewaan Durian

Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, Pusat Penamaan Calon

Bagi melancarkan perjalanan pilihan raya, Dewan Sri Lamag, Kinabatangan akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU). Seramai 1,106 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini melibatkan 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal.

SPR menganggarkan kos perbelanjaan bagi pelaksanaan kedua-dua PRK ini adalah sekitar RM10 juta. Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan mengandungi 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan sehingga Oktober 2025 yang dikemas kini pada 5 Disember 2025.

Orang ramai boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal MySPR Semak, aplikasi mudah alih atau menghubungi talian hotline SPR bermula 5 Januari 2026.

Dalam masa sama, SPR menyeru bakal calon agar membuat semakan awal borang penamaan dan pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. SPR juga membuka ruang kepada agensi kerajaan, NGO dan badan berkepentingan untuk memohon sebagai pemerhati pilihan raya sehingga 31 Disember 2025.

Bagi menggalakkan penyertaan pengundi, SPR akan melaksanakan kempen “Jom Kita Undi” melalui pelbagai saluran termasuk media elektronik, media sosial dan hebahan awam, selain meneruskan siaran langsung proses pilihan raya di platform rasmi SPR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *