Tawau, 26 September 2023 – Program Kembara Merdeka N73 Sebatik siri 1/2023 yang melibatkan kira-kira 80 peserta telah berjaya dijalankan dengan lancar dari 22 hingga 24 September lalu. Program ini merupakan program pertama yang dianjurkan oleh kalabakan 4×4 Club dan ADUN73 Sebatik, yang bertujuan untuk menggalakkan minat dan kemahiran dalam sukan pacuan empat roda serta menghayati semangat kemerdekaan.
Penyelaras program, En Salfian Abas, berkata bahawa program ini telah menjelajahi Hutan Luasaong, sebuah kawasan yang sesuai untuk menguji kemahiran mengendalikan pacuan 4×4 masing-masing. Beliau juga menambah bahawa program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada peserta yang bukan sahaja datang dari Kalabakan dan Tawau, tetapi juga dari Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu. Program ini turut disertai oleh Datuk A. Hassan Pg Amir, ADUN N73 Sebatik.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Pembantu Menteri kepada ketua menteri Sabah, Datuk Nizam DSP Hj Abu Bakar Titingan, yang telah merasmikan program ini di Kompleks Sukan Tawau. Dalam ucapan beliau, Datuk Nizam menyarankan agar semua pihak terutamanya peminat sukan ekstrem ini untuk berkolaborasi sesama kelab pacuan empat roda yang ada untuk mengembangkan lagi program ini ke peringkat yang lebih besar iaitu Kembara Borneo yang menjelajahi dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
Beliau juga menyatakan bahawa program seperti ini dapat meningkatkan kecintaan kepada tanah air dan memupuk semangat perpaduan antara rakyat Malaysia. Beliau berharap agar program Kembara Merdeka N73 Sebatik dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan penyertaan yang lebih ramai dan pelbagai.