Kisah organisasi di Tawau membantu mangsa kebakaran mendapatkan rumah

Untuk menjadi sesebuah masyarakat yang kuat, salah satu kaedah terbaik yang boleh dilakukan adalah menubuhkan organisasi. Kalau kita lihat di Tawau, ada banyak organisasi yang terlibat dengan pelbagai aktiviti. Kehadiran organisasi-organisasi ada impaknya yang tersendiri – kita dapat lihat bagaimana organisasi-organisasi yang ada terlibat dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana. Kalau di Tawau ni, sudah tentu kita akan bercakap soal kebakaran. Setiap kali ada bencana kebakaran rumah berlaku, berpuluh-puluh organisasi akan mengaturkan bantuan.

Ikatan Anak Muda Tawau yang pernah aktif sekitar 2015-2018

Kali ini kami ingin ceritakan salah sebuah organisasi yang rapat dengan kami, iaitu Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) yang pernah aktif sekitar tahun 2015-2018. Salah satu sebab organisasi ini menarik adalah mereka menghimpunkan mahasiswa Tawau dari pelbagai universiti. Kalau kita lihat pada keadaan semasa; sukar untuk menyedari kehadiran persatuan mahasiswa lokal. Kalau kita lihat di Tawau ni, sebenarnya ramai anak muda yang berjaya masuk universiti, tapi susah nak jumpa satu organisasi mahasiswa Tawau. Sudah tentu ada, tapi tak banyak.

Nak dijadikan cerita, IKAT telah melaksanakan beberapa aktiviti sepanjang jangka hayatnya. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan oleh organisasi ini berteraskan kebajikan dan pendidikan. Salah satu yang menarik adalah pembukaan Kelas IKAT – kelas ini merupakan kelas percuma untuk kanak-kanak peniaga kacang di sekitar Tawau. Kami percaya yang kamu mesti pernah lihat kanak-kanak ini menjual kalau kamu tengah lepak-lepak di kedai makan. 

Ketika itu, IKAT percaya kanak-kanak ini perlu diberikan pendidikan. Ramai yang berkata kalau kanak-kanak ini perlukan pendidikan, mengapa tidak dihantar ke sekolah? Bukankah mengajar kanak-kanak ini di tepi-tepi jalan akan menganggu orang awam? 

Satu hal yang perlu kita sedari adalah dunia tak selalunya indah. Kanak-kanak ini memiliki bebanan hidup mereka yang tersendiri – termasuklah terpaksa bekerja untuk menyara hidup, dan perihal dokumentasi yang sudah memang menjadi masalah utama di Sabah. Disebabkan hal ini mengajar ketika mereka sedang berjualan adalah hal paling praktikal ketika itu.

Apabila kanak-kanak ini diberi pendidikan, kita dapat melihat perubahan mereka secara berperingkat. Kita dapat melihat mereka sudah mula berpakaian dengan lebih baik, kanak-kanak perempuan mula memilih untuk bertudung, dan mula membuang sampah di tong sampah. Kita mungkin akan beranggapan perubahan ini terlalu kecil, tapi sebenarnya bagi IKAT ketika itu ia adalah satu kejayaan yang besar. 

Membantu mangsa kebakaran Batu 2 Jalan Apas mendapatkan rumah PPR

Selain daripada membantu memberi pendidikan kepada kanak-kanak yang berjualan di sekitar bandar Tawau, IKAT turut terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa kebakaran di Batu 2, Jalan Apas. Pada peringkat awal, IKAT terlibat dalam memberi bantuan pendidikan kepada kanak-kanak di sekitar tapak penempatan sementara mangsa kebakaran di Batu 2. Pelajar-pelajar di sana terpaksa tinggal di dalam khemah, dan IKAT telah mengadakan sesi kelas percuma kepada para pelajar. Ia adalah pendidikan tambahan, terutamanya kepada para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar. 
Kelas yang diadakan di tapak penempatan sementara mangsa kebakaran ini telah mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat di sana. Setiap kali sukarelawan IKAT datang untuk mengadakan kelas, mereka akan dijamu dengan pelbagai juadah. Keadaan ini menyebabkan hubungan di antara sukarelawan IKAT dan masyarakat di sana terjalin. Setelah beberapa bulan mengadakan kelas, beberapa ibu bapa pelajar meminta bantuan IKAT untuk mencarikan mereka rumah sewa, memandangkan sudah terlalu lama menetap di tapak penempatan sementara.
Permintaan ini telah membawa kepada perbincangan yang serius di antara wakil IKAT dan Majlis Perbandaran Tawau. Bagi mereka yang mengikuti rapat apa yang berlaku ketika isu ini sedang tular, mereka akan tahu bahawa pelbagai kontroversi telah muncul. Selepas beberapa siri perbincangan di antara IKAT dan MPT, akhirnya beberapa keluarga daripada mangsa-mangsa kebakaran ini telah diberikan rumah PPR. 
Bagi IKAT, ia merupakan salah satu kejayaan terbesar kerana berjaya membantu masyarakat yang memerlukan untuk mendapatkan tempat berteduh. Apa yang lebih memberi kegembiraan kepada para sukarelawan adalah; ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan!

Fasa kemerosotan dan hibernasi IKAT

Selain daripada dua projek yang kami sebutkan di atas, sebenarnya ada banyak lagi program-program yang pernah dilaksanakan oleh IKAT. Antaranya adalah program bersama pelajar-pelajar tahfiz, kutip sampah, majlis berbuka puasa, dapur jalanan, dan beberapa ahli IKAT sering dijemput untuk mengendalikan program-program berkaitan anak muda.
Kemorosotan IKAT berlaku apabila kebanyakan ahli-ahli IKAT berada di luar Tawau kerana perlu meneruskan pengajian. Kegagalan pimpinan IKAT menyediakan ‘generasi’ seterusnya turut menyumbang kepada hibernasi IKAT. Cuma, beberapa ahli IKAT telah terlibat aktif dengan organisasi masing-masing. Ada yang menubuhkan organisasi sendiri, dan ada yang terlibat aktif dengan organisasi yang lain. 
Anak muda sebenarnya mampu melakukan hal-hal yang luar biasa sekiranya mereka mempunyai keyakinan dan perancangan yang rapi. Kita selalu diberitahu yang anak muda pemimpin hari esok – seolah-olah kita mengatakan mereka tidak mampu memimpin pada hari ini. Sebagai sebuah masyarakat, kita sepatutnya menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh anak-anak muda untuk menyumbang kepada masyarakat. 
***Artikel ini ditulis berdasarkan maklumat daripada mantan Presiden IKAT, saudara Rahman Imuda. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *