Kemurungan Dan Bunuh Diri Bukan Satu Bahan Jenaka

 



Makin kerap kita dengar masyarakat kita yang mengalami kemurungan dan akhirnya memilih untuk bertindak diluar kawalan apabila menemui jalan buntu iaitu dengan bertindak untuk membunuh diri. Ini merupakan perkara yang tidak sihat yang perlu dibendung dengan kerjasama semua masyarakat yang prihatin. 



Bunuh Diri. Apa Puncanya?

Jom kita buat sedikit pembacaan berkenaan dengan kejadian bunuh diri. Bunuh diri berlaku akibat pelbagai faktor penyumbang yang menggugat emosi dengan sangat kuat. Kebanyakan mereka yang ingin membunuh diri selalunya masih teragak-agak untuk meneruskan niat mereka.

Kebanyakan kejadian bunuh diri ini berpunca daripada kemurungan. Kemurungan ini dapat didefinisikan sebagai gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta kehilangan minat dalam aktiviti harian. 

Perkara ini berlarutan sekurang-kurangnya dalam 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi kepada sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Tanda-tanda Kemurungan


Perhatikan diri kita dan orang disekeliling sekiranya mempunyai tanda-tanda kemurungan berikut : 


1. Hilang minat terhadap aktiviti harian
2. Hilang tumpuan terhadap pekerjaan
3. Masalah atau gangguan tidur
4. Perubahan selera makan
5. Penurunan atau peningkatan berat badan
6. Mudah letih
7. Rasa bersalah yang keterlaluan
8. Putus harapan
9. Rasa rendah diri yang keterlaluan

Apa yang perlu dilakukan sekiranya ada dikalangan kita yang ingin membunuh diri atau terlibat dengan kemurungan? Kita perlu memberikan pertolongan dan bantuan untuk mengurangkan keperitan emosi yang dilalui oleh mereka. Kita juga perlu mendengar segala luahan yang mereka ingin luahkan dan berada disamping mereka untuk kita berikan sokongan agar reda kesukaran yang dirasai. 

Rentetan kejadian tindakan ingin bunuh diri yang berlaku di Sabindo, Tawau pada malam rabu semalam, 10 Ogos 2022, ada pihak yang menganggap perkara tersebut satu jenaka dan dijadikan sebagai bahan ketawa yang tidak sepatutnya berlaku. 

Perkara ini perlu kita tangani sebagai sebuah masyarakat yang prihatin di Tawau. Kita seharusnya memberikan sokongan moral untuk individu terlibat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Setiap nyawa yang melayang akibat bunuh diri di daerah ini menunjukkan betapa kurangnya sokongan moral daripada masyarakat sekeliling. Semoga kita dijauhkan daripada segala perkara yang demikian. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *