Kes rompakan bersenjata kedai emas Tawau

Kes rompakan menggunakan senjata di sebuah kedai emas Jalan Dunlop. Tawau, Sabah telah berlaku isnin lalu.

Bersenjatakan Tukul Besi

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Bin Hussin, kejadian berlaku lebih kurang jam 8.45 pagi. Kejadian rompakan ini dilakukan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi. Anggaran kerugian lebih kurang RM500.

Suspek memecahkan rak kaca di dalam kedai dan mengambil 2 utas rantai emas bukan tulen dan melarikan diri. Namun begitu, suspek berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian.

2 Utas Rantai Emas Bukan Tulen

Anggota MPV IPD Tawau yang bertugas telah membuat tangkapan ke atas suspek yang diserahkan oleh orang awam. Turut diserahkan oleh orang awam, barang kes iaitu sebuah beg galas, sebatang tukul besi dan 2 utas rantai emas bukan tulen.

Suspek berusia 30-an dan bukan warganegara Malaysia. Hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati suspek bebas dari penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Polis juga akan meneruskan siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek merupakan warga asing yang masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah.

Sumber: FB Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *