Wakil Suruhanjaya Tinggi Kanada Lawat Tawau, Kukuhkan Kerjasama Alam Sekitar dan Komuniti

TAWAU, 12 September 2025 — Wakil Suruhanjaya Tinggi Kanada, Encik Robert Bissett, bersama Pegawai Advokasi Dayalan S. Rajoo, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Tawau dan bertemu dengan YB Justin Wong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, dalam rangka lawatan kerja ke Tawau bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti di Pantai Timur Sabah.

Sepanjang lawatan tersebut, Encik Bissett turut melawat Semporna dan Pulau Larapan bagi meninjau projek pemuliharaan alam sekitar yang dikendalikan oleh Reef Check Malaysia, penerima dana daripada Canada Fund for Local Initiatives (CFLI). Projek ini dijalankan dengan kerjasama NGO tempatan, SERATA, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa wanita untuk memimpin aktiviti pemuliharaan di Pulau Mabul dan Pulau Selakan, daerah Tawau.

Selain itu, Encik Bissett turut mengadakan sesi jaringan bersama wakil-wakil NGO tempatan di Tawau bagi berkongsi pandangan serta meneroka peluang kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Kanada terhadap inisiatif komuniti yang sedang dijalankan di peringkat tempatan.

Delegasi tersebut turut melawat Taman Bukit Tawau (Tawau Hills Park) untuk meninjau usaha berterusan dalam melindungi kepelbagaian biodiversiti serta mempromosikan pelancongan lestari di kawasan tersebut.

Lawatan ini menggambarkan komitmen berterusan Kanada dalam menyokong kelestarian alam sekitar, pemberdayaan wanita, dan pembangunan komuniti setempat melalui kerjasama antarabangsa dan jaringan akar umbi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *