Rina Jainal Perkukuh Usaha Sokong Kanak-Kanak Autisme di Tawau

TAWAU — Kerajaan negeri terus memberi perhatian terhadap kebajikan kanak-kanak autisme termasuk usaha memperluaskan perkhidmatan terapi dan kesedaran masyarakat melalui pembukaan Pusat Autistik Sabah (PAUS) di Tawau.

Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, berkata pusat tersebut akan menjadi platform penting dalam membantu kanak-kanak autisme mendapatkan terapi serta bimbingan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Menurutnya, PAUS bukan sekadar pusat jagaan, sebaliknya merupakan pusat terapi yang memberi fokus kepada pembangunan kanak-kanak autisme secara lebih sistematik dan profesional.

“Anak-anak autisme memerlukan perhatian yang sangat khusus. Sebab itu jumlah pelajar perlu dihadkan supaya tenaga pengajar dapat memberi fokus sepenuhnya kepada setiap kanak-kanak yang menjalani terapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi santai bersama rakan-rakan media sempena Ramadan di Tawau, yang turut menjadi platform untuk berkongsi perkembangan program dan inisiatif di bawah tanggungjawab beliau sebagai Pembantu Menteri.

Beliau mengulas lanjut, menjelaskan bahawa program terapi di pusat tersebut memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, dengan pendekatan rawatan yang disesuaikan mengikut tahap dan keadaan individu.

Dalam masa sama, Rina menekankan kepentingan pengesanan awal dalam kalangan ibu bapa bagi membolehkan kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda autisme menerima rawatan dan intervensi lebih awal.

Datuk Rina meluangkan masa moreh bersama rakan-rakan media

Menurutnya, masih terdapat segelintir ibu bapa yang sukar menerima hakikat atau lambat mendapatkan bantuan profesional sehingga keadaan anak menjadi lebih serius.

“Jika kita dapat mengenal pasti lebih awal, terapi boleh dimulakan lebih awal. Ini penting untuk membantu perkembangan anak-anak tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan program kesedaran awam sempena Hari Autisme Sedunia, termasuk kerjasama dengan Hospital Tawau serta unit psikiatri bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme.

Beliau turut memaklumkan bahawa PAUS di Tawau kini telah mula beroperasi secara awal dan dijangka dirasmikan secara rasmi pada April depan.

Rina berkata, inisiatif tersebut merupakan antara langkah kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak autisme di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *