Angkat Keistimewaan Durian Sabah, Edisi Ke-2 Risalah Sabah Agro Tourism Dilancar

KOTA KINABALU – Usaha memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi agropelancongan terus diperkasakan apabila Tourism Malaysia Sabah dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) melancarkan Risalah Sabah Agro Tourism – A Unique Sabah’s Farmland Experience Edisi Ke-2, di Dking, Segama, di sini pada Jumaat.

Pelancaran edisi terbaharu itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, YB Datuk Jamawi Jaafar, bersempena kemeriahan musim durian di negeri ini yang saban tahun menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara.

durian

Risalah Edisi Ke-2 ini meneruskan kejayaan edisi pertama yang dilancarkan pada Ogos 2024 dengan menampilkan 24 pengusaha ladang buah-buahan tempatan serta pelbagai pakej agropelancongan yang mengetengahkan pengalaman unik di kawasan seperti Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom, Tawau dan beberapa lokasi luar bandar lain yang terkenal dengan kepelbagaian durian serta buah-buahan tropika.

Baca Juga : Karnival Hari Keluarga ATM

Kebun Durian, Antara Pakej Menarik

Antara pakej menarik yang ditawarkan termasuk lawatan setengah hari ke kebun durian, pengalaman inap desa berasaskan ladang, sehinggalah lawatan lengkap untuk menikmati durian istimewa Sabah seperti durian pulu, dalit, sukang dan pelbagai varieti tempatan lain. Setiap pakej dibangunkan secara kolaboratif bersama pengusaha ladang, komuniti setempat dan penggiat industri pelancongan bagi menyokong pembangunan agropelancongan serta meningkatkan sumber pendapatan masyarakat luar bandar.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Puan Zuraini Abd Ghani berkata, penerbitan risalah ini mencerminkan komitmen berterusan Sabah dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang segar, autentik dan berteraskan komuniti.

“Edisi ini memberi peluang kepada pelawat untuk merasai sendiri kekayaan warisan agro Sabah, di samping menyokong pembangunan pelancongan luar bandar serta penjanaan ekonomi masyarakat setempat. Inisiatif ini juga selari dengan persiapan ke arah menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

durian

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai turut berpeluang memeriahkan Durian Tourism Bazaar 2025 yang berlangsung di Segama Waterfront, Kota Kinabalu bermula 12 hingga 14 Disember 2025. Karnival selama tiga hari anjuran MaSDa itu menghimpunkan lebih 20 pengusaha durian dan buah-buahan tempatan dari seluruh Sabah, menawarkan pelbagai pilihan buah-buahan segar serta produk berasaskan buah-buahan pada harga menarik.

Penganjuran bazar tersebut buat julung kalinya di Kota Kinabalu, dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan FAMA, diharapkan mampu mempromosikan Sabah sebagai antara destinasi agropelancongan unggul di Malaysia, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dalam industri pelancongan berasaskan agro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *