KUALA LUMPUR: Penganjuran Kongres 2025 (Kongres Anak Muda & Kongres Mahasiswa 2025) dilihat sebagai satu respon langsung terhadap realiti politik semasa apabila semakin ramai anak muda dilaporkan hilang kepercayaan terhadap ahli politik dan sistem sedia ada.
Kongres yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Disember 2025 di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) itu dijangka menghimpunkan anak muda dan mahasiswa dari seluruh negara tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau ideologi bagi membincangkan agenda besar kepemudaan Malaysia.

Menurut jawatankuasa penganjur, menunggu perubahan semata-mata daripada pemerintah tidak lagi mencukupi dalam keadaan politik yang terus dibelit isu rasuah, penyelewengan dan ketandusan kebertanggungjawaban.
“Kami berdepan realiti di mana ramai anak muda sudah hilang harapan dan kepercayaan terhadap ahli politik. Keadaan ini menuntut kami membina ruang sendiri,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Kongres Anak Muda 2025 diwujudkan sebagai ruang bebas dan terbuka untuk anak muda menyusun diri, mengangkat idea serta membina perubahan yang bermakna dari bawah. Lima agenda utama akan menjadi tumpuan kongres tersebut, iaitu keadilan sosial, keadilan ekonomi, hak asasi manusia, ketelusan pentadbiran kerajaan dan kelestarian alam sekitar.

Pada masa sama, Kongres Mahasiswa 2025 turut menghimpunkan mahasiswa universiti awam dan swasta dalam satu perhimpunan nasional bagi menyatukan suara kampus sebagai ruang perjuangan idea dan nilai.
Empat fokus utama diketengahkan termasuk autonomi mahasiswa, demokrasi kampus, usaha merakyatkan mahasiswa serta perbincangan masa depan pendidikan tinggi negara agar lebih seimbang dari segi ilmu, nilai dan kemanusiaan.
Penganjur menegaskan bahawa Kongres Anak Muda & Mahasiswa 2025 bukan milik mana-mana parti politik atau kelompok elit, sebaliknya sebuah gerakan inklusif dan bebas yang milik semua rakyat Malaysia.

Hasil perbahasan dan dialog terbuka sepanjang kongres itu akan dirumuskan dalam satu dokumen penting iaitu Deklarasi Agenda Anak Muda & Mahasiswa 2025, yang akan menjadi tuntutan rasmi anak muda dan mahasiswa kepada negara.
Mengakhiri kenyataan, penganjur menyifatkan kongres ini sebagai satu gerakan kesedaran dan kebangkitan, sekali gus menyeru seluruh anak muda, mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk bangkit mengambil peranan membina Malaysia yang lebih adil, demokratik, telus dan lestari.


