PUTRAJAYA – Pelantikan Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) disambut dengan penuh penghargaan oleh rakyat Tawau, yang melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap rekod kerja dan komitmen beliau sepanjang berkhidmat di kawasan Parlimen Tawau.
Datuk Lo Su Fui merupakan antara lapan Timbalan Menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam rombakan Jemaah Menteri yang bertujuan memperkukuh keberkesanan pentadbiran kerajaan serta memberi nafas baharu kepada agenda pembangunan negara.

Ihsan Gambar : Jabatan Wilayah Persekutuan
Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, Datuk Lo Su Fui dikenali sebagai pemimpin yang menekankan pembangunan prasarana dan kebajikan komuniti setempat. Antara pencapaian yang sering menjadi sebutan ialah usaha membaiki dan menaik taraf dewan-dewan serbaguna, kemudahan awam serta sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Tawau, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih selesa untuk aktiviti masyarakat dan pembelajaran pelajar.
Baca Juga : PRK Dun Lamag, 24 Januari 2026
Lo Su Fui, Pendekatan Turun Padang dan Prihatin
Pendekatan turun padang dan keprihatinan beliau terhadap keperluan rakyat menjadikan pelantikan ini bukan sahaja satu lonjakan peribadi, malah diharap mampu membawa limpahan manfaat kepada daerah Tawau khususnya dan Malaysia secara amnya. Dengan portfolio Wilayah Persekutuan, pengalaman mengurus isu rakyat di peringkat akar umbi diyakini dapat diterjemahkan dalam dasar serta pelaksanaan pembangunan bandar yang lebih inklusif dan berkesan.
Rombakan Kabinet yang diumumkan turut menyaksikan pelantikan Datuk Mustapha Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) serta Mohamad Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan. Selain Datuk Lo Su Fui, beberapa Timbalan Menteri baharu lain turut dilantik, termasuk Marhamah Rosli, Chiew Choon Man, R. Yuneswaran dan Sim Tze Tzin.

Perdana Menteri dalam sidang akhbar pengumuman rombakan tersebut menegaskan bahawa penyesuaian Kabinet ini dibuat bagi memastikan kerajaan terus fokus menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan isu-isu rakyat secara lebih berkesan.
Bagi warga Tawau, pelantikan Datuk Lo Su Fui dilihat sebagai satu kebanggaan bermula dengan khidmat di daerah sendiri, kini beliau diberi amanah lebih besar di peringkat Persekutuan. Harapan rakyat agar kepercayaan ini dapat diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pembangunan, bukan sahaja untuk Wilayah Persekutuan, tetapi juga terus memberi perhatian kepada kemajuan Tawau dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.



