KOTA KINABALU, 31 Mac 2026 – Prosiding inkues bagi menyiasat kematian remaja, Zara Qairina Mahathir, disambung semula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini.
Perbicaraan yang bermula sekitar jam 9 pagi itu mendengar keterangan saksi baharu, termasuk seorang kanak-kanak yang menjadi deponen ke-64 dalam kes tersebut.
Peguam Shahlan Jufri berkata, prosiding minggu ini dijangka melibatkan beberapa saksi lagi, termasuk kanak-kanak dan juga saksi dewasa.
“Pada hari ini terdapat seorang saksi kanak-kanak, diikuti saksi dewasa termasuk seorang pakar perunding psikiatri dari Kementerian Kesihatan.
“Jika keterangan saksi kanak-kanak selesai hari ini, prosiding mungkin diteruskan dengan saksi dewasa,” katanya kepada media.
Dalam prosiding terdahulu, seramai 64 saksi termasuk kanak-kanak telah memberikan keterangan di mahkamah yang sama.
Zara Qairina, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pasukan peguam yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, terdiri daripada Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James selain Shahlan.
Sementara itu, peguam yang mewakili bapa mangsa, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Turut mewakili lima pelajar lain yang terlibat dalam inkues itu ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan bagi pelajar A, manakala empat pelajar lain diwakili Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah serta Sylvester Kuan.
Pasukan pendakwaan pula diketuai Pengarah Pendakwaan Sabah, Nahra Dollah, bersama timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.



