KOTA KINABALU, 16 Mac 2026 – Pembangunan pasaran tenaga kerja di Sabah perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi serta perubahan dalam sistem pendidikan bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dengan keperluan industri semasa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr James Ratib, berkata usaha memperkukuh pasaran buruh bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga melibatkan pembangunan bakat, peningkatan kemahiran serta penguasaan teknologi dalam kalangan tenaga kerja.
Menurut beliau, gabungan antara pendidikan berkualiti, inovasi teknologi dan perancangan tenaga kerja yang tersusun mampu membantu Sabah membina ekosistem bakat yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026, anjuran Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, serta Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Asri Abdul Rahman.
Dalam pada itu, James menegaskan kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, institusi pendidikan dan pihak industri amat penting bagi memastikan pembangunan tenaga kerja dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh latihan berkaitan teknologi, memperluas penggunaan inovasi serta meningkatkan infrastruktur digital termasuk capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar.
Selain itu, penggunaan data pasaran pekerjaan melalui platform MYFutureJobs juga dilihat mampu membantu memahami keperluan sebenar industri serta memudahkan padanan antara pencari kerja dan majikan.
Pada masa yang sama, penyelarasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kehendak industri, serta pelaksanaan program peningkatan kemahiran seperti reskilling dan upskilling, dianggap penting bagi memastikan graduan tempatan memiliki kemahiran yang sesuai dengan pasaran kerja masa kini.
#TawauKini


