Inisiatif E-Wallet di Bazar Ramadan Sabindo Rancakkan Ekonomi Peniaga Tempatan

TAWAU — Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau melaksanakan inisiatif pemberian e-Wallet kepada pengunjung dan peniaga di Bazar Ramadan sebagai usaha merancakkan ekonomi tempatan sepanjang bulan Ramadan.

Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, berkata program tersebut menyasarkan kira-kira 1,000 pengunjung untuk menerima RM20 dalam bentuk e-Wallet Touch ‘n Go bagi membeli makanan dan minuman di bazar.

Menurutnya, selain pengunjung, seramai 20 peniaga terpilih juga akan menerima insentif RM100 melalui e-Wallet sebagai sokongan kepada peniaga tempatan.

“Inisiatif ini merupakan gerak kerja bersama KPDN Cawangan Tawau bagi membantu merancakkan lagi aktiviti jual beli di bazar Ramadan serta menyokong peniaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil selepas pihaknya menerima maklum balas daripada peniaga yang memaklumkan bahawa walaupun bazar Ramadan dikunjungi ramai orang, namun jumlah pembeli tidak begitu memberangsangkan.

“Kadang-kadang kita lihat pengunjung memang ramai, tetapi pembeli kurang. Jadi inisiatif seperti ini diharap dapat merangsang pengunjung untuk berbelanja dan secara tidak langsung membantu peniaga meningkatkan jualan mereka,” katanya.

Tambahnya, program tersebut juga bertujuan menggalakkan masyarakat untuk terus menyokong peniaga tempatan serta memeriahkan suasana ekonomi sepanjang bulan Ramadan.

Pada masa sama, Rina turut menggalakkan orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan atau maklum balas melalui saluran rasmi bagi membantu kerajaan memantau isu yang berlaku di lapangan.

“Kita berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan aduan yang lengkap melalui saluran rasmi supaya pihak berkaitan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *