TAWAU – Tiga tokoh dari daerah Tawau menerima pengiktirafan berprestij apabila dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk, sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Musa AmanYang Dipertua Negeri Sabah, pada 30 Mac 2026.
Antara penerima anugerah tersebut ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim @ Joseph Pang, yang menerima pengiktirafan atas sumbangan serta kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan bandar dan kesejahteraan masyarakat di daerah Tawau.
Turut menerima anugerah sama ialah Mohammad Jalani Chachu, yang berkhidmat sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N72 Merotai. Beliau dikenali atas usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan komuniti serta memperkasa kesejahteraan masyarakat setempat.
Selain itu, seorang lagi penerima ialah Sabran Zabur Abd Hamid, individu yang banyak berjasa dalam pembangunan institusi keagamaan dan pendidikan di daerah ini. Beliau dikenali sebagai antara individu yang membangunkan Masjid Al-Muhajirin Inderasabah dan Masjid Al-Ansar Taman Sawit, selain memegang peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung.
Penganugerahan darjah kebesaran ini melambangkan pengiktirafan tinggi terhadap jasa, kepimpinan serta sumbangan cemerlang yang telah dicurahkan oleh ketiga-tiga tokoh tersebut dalam pembangunan dan kemajuan Negeri Sabah, khususnya di daerah Tawau.
Dalam pada itu, ucapan setinggi-tinggi tahniah turut dizahirkan kepada semua penerima anugerah darjah kebesaran yang lain sempena sambutan bersejarah tersebut. Diharapkan agar kesemua penerima terus berbakti kepada masyarakat tanpa mengenal erti lelah, serta istiqamah dalam menyumbang idea, tenaga dan kepakaran bagi membantu membangunkan masyarakat serta memperkukuh pembangunan fasiliti di seluruh Negeri Sabah.
Pengiktirafan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti, selain menyemarakkan semangat kepimpinan dan khidmat bakti dalam kalangan generasi akan datang.

