TAWAU – Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Daerah Tawau menunjukkan peningkatan positif apabila mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) 4.33, berbanding 4.37 pada tahun 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan sebanyak 0.04 mata.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, peratus Layak Mendapat Sijil (LMS) bagi SPM 2025 turut mencapai 97.22 peratus, menandakan kejayaan berterusan sektor pendidikan di daerah ini dalam meningkatkan kualiti pencapaian akademik pelajar.
Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Haji Sima, merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2025 yang telah menerima keputusan masing-masing, selain menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan yang memainkan peranan penting dalam kejayaan tersebut.
Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan pengetua, guru besar, para guru serta seluruh warga pendidikan Daerah Tawau yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan peningkatan pencapaian SPM tahun ini.
“Semoga keputusan SPM 2025 ini menjadi inspirasi dan motivasi untuk meneruskan momentum kecemerlangan sektor pendidikan di Negeri Sabah, khususnya di Daerah Tawau,” katanya.
Empat Sekolah Catat LMS 100 Peratus
Dalam perkembangan sama, empat buah sekolah di Daerah Tawau berjaya mencatatkan Layak Mendapat Sijil SPM (LMS) 100 peratus, iaitu semua calon lulus mata pelajaran wajib Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai syarat memperoleh sijil SPM.
Sekolah yang mencatatkan pencapaian tersebut ialah:
- SM Islamiah Tawau – 88 calon
- SMK Tawau – 323 calon
- SMK Tawau II – 110 calon
- SM St Patrick Tawau – 243 calon
Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi pihak sekolah dalam memastikan semua pelajar memenuhi syarat minimum untuk memperoleh sijil SPM.
Pencapaian Cemerlang Gred Purata Sekolah
Selain itu, beberapa sekolah turut mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) yang membanggakan bagi tahun 2025.
Antaranya:
- SM St Patrick Tawau – GPS 2.79
- SM Islamiah Tawau – GPS 3.12
- SMK Tawau – GPS 3.25
Pencapaian ini membuktikan kesungguhan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik pelajar terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Teruskan Langkah Ke Hadapan
Dalam pada itu, ucapan tahniah turut dizahirkan kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan SPM 2025. Kejayaan ini diharap menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu dalam memilih laluan pendidikan atau kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.
Para pelajar juga diharapkan agar terus berusaha mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan, seterusnya kembali menyumbang bakti kepada pembangunan masyarakat dan kemajuan daerah Tawau yang tercinta.

