UMNO Sabah menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah sebagai lambang perpaduan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan sistem demokrasi berperlembagaan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, institusi TYT bukan sekadar simbol pentadbiran negeri, sebaliknya institusi yang wajib dihormati serta dipelihara oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Katanya, UMNO Sabah berdiri teguh mempertahankan keluhuran institusi berkenaan demi memastikan keharmonian dan kestabilan negeri terus terjamin.

“Institusi TYT Yang Dipertua Negeri Sabah adalah lambang perpaduan rakyat dan tunjang kestabilan negeri yang perlu terus dipertahankan.
“UMNO Sabah akan terus mempertahankan keluhuran institusi ini demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan media sempena ulang tahun UMNO ke-80, hari ini.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-80 UMNO menjadi simbol perjalanan panjang perjuangan parti itu sejak ditubuhkan pada tahun 1946 dalam mempertahankan maruah bangsa, kedaulatan negara, hak Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.
Menurutnya, dalam konteks Sabah, perjuangan itu diterjemahkan menerusi komitmen mempertahankan institusi TYT sebagai asas perpaduan rakyat dan kestabilan negeri.
Samasuddin berkata, UMNO Sabah turut percaya kestabilan politik adalah asas penting kepada kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kestabilan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri perlu terus dipelihara supaya agenda pembangunan dan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Katanya, UMNO Sabah juga terus menjunjung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pembentukan Malaysia selain komited mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah termasuk hak Bumiputera secara adil dan berhemah.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti, veteran perjuangan dan jentera akar umbi yang terus setia mendukung perjuangan UMNO sejak dahulu hingga kini.
“Dengan semangat ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, UMNO Sabah akan terus memperkukuh perjuangan mempertahankan institusi, memelihara kestabilan negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.