TAWAU – Penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa menggemparkan penduduk selepas rakaman video kejadian itu tular dalam beberapa kumpulan WhatsApp sejak pagi tadi.
Video berkenaan mencetuskan kebimbangan dan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, sebelum Polis Daerah Tawau mengesahkan menerima dua laporan berkaitan kejadian tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Wilynton Enchana Watt berkata, hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan itu ditemui oleh seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum beliau menghubungi pihak ambulans bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima rawatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi serta individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Katanya, polis turut mengesan saksi-saksi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi sekiranya ada, selain membuat semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Polis Daerah Tawau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas menyelamatkan bayi berkenaan serta mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.