Pergelangan tangan anggota polis putus diserang parang, suspek maut ditembak

Pergelangan tangan anggota polis putus diserang parang, suspek maut ditembak

KUALA LUMPUR: Lelaki dipercayai warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan seorang anggota polis hingga putus dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba ditahan, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 hingga 8 malam.

Menurutnya, beberapa das tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri dan melaksanakan tangkapan selepas suspek bertindak agresif.

“Namun tembakan tersebut hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan itu, polis berusaha membawanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang.

Sementara itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang cedera dalam serangan awal dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shazeli berkata, kejadian bermula selepas polis menerima maklumat orang awam kira-kira jam 4 petang mengenai seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan berkemungkinan mengamuk di pangsapuri terbabit.

Susulan itu, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi untuk memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, kira-kira jam 7 malam ketika tindakan sedang dilaksanakan, seorang lelaki tiba-tiba meluru keluar dari kediaman berkenaan dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota polis, bomba dan petugas kesihatan yang berada di hadapan pintu.

Dalam serangan itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan serius sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus ketika cuba mempertahankan diri.

Anggota lain kemudian berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah sebelum dikesan berhampiran sebuah taman permainan.

Shazeli berkata, anggota yang cedera itu bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum diberikan rawatan awal di Hospital Selayang, kemudian dipindahkan ke HKL untuk menjalani pembedahan.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat bahawa anggota bomba dan petugas KKM mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu, namun masih menunggu laporan rasmi daripada kedua-dua agensi berkenaan.

Mengenai suspek, semakan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai warga asing, tetapi identiti serta butiran dirinya masih dalam proses pengesahan.

Polis turut menjalankan siasatan di kediaman suspek dan lokasi kejadian tembakan bagi mendapatkan gambaran lengkap mengenai insiden berkenaan.

Menurutnya, jumlah tembakan yang mengenai suspek serta kecederaan dialaminya belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan bedah siasat.

“Setakat ini, kita percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di Hospital Selayang,” katanya.