Wanita GRS Perhebat Gerak Kerja, Sasaran 15 Kerusi Parlimen Sabah

Wanita GRS Perhebat Gerak Kerja, Sasaran 15 Kerusi Parlimen Sabah

TAWAU – Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk membantu gabungan itu mencapai sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen daripada 25 kerusi di Sabah, dengan jentera parti di peringkat akar umbi digesa terus memperkukuh gerak kerja bersama rakyat.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata sasaran tersebut termasuk mempertahankan dua kerusi Parlimen iaitu Tawau dan Kalabakan.

Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun ketika ditemui media

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Wanita GRS bersama YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Menurut beliau, pertemuan itu turut menjadi ruang untuk menggerakkan jentera Wanita GRS supaya terus turun padang dan mendekati masyarakat di kawasan masing-masing.

Katanya, kerja bersama rakyat tidak seharusnya hanya dilakukan ketika musim pilihan raya atau kempen, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Kerja bersama rakyat ini bukan semasa kita berhadapan dengan kempen sahaja, tetapi sepanjang masa. Jadi hari ini saya nasihatkan mereka untuk terus bekerja di kedua-dua kawasan Parlimen ini,” katanya.

Wanita terbuka dinilai berdasarkan kemampuan

Dalam soal calon wanita pula, Azizah berkata pihaknya tidak menetapkan kawasan tertentu secara khusus untuk calon wanita, sebaliknya penilaian perlu dibuat berdasarkan kemampuan seseorang calon untuk menang serta menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, calon wanita yang mempunyai potensi dan memenuhi kriteria kepimpinan wajar diberikan peluang untuk bertanding.

“Yang penting kita mahu menang. Di mana-mana kawasan ada wanita kita yang berpotensi untuk menang, maka kita akan sokong mereka untuk bertanding. Tetapi kita serahkan kepada kepimpinan untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau menegaskan calon wanita juga perlu dinilai secara terbuka dan adil berdasarkan keupayaan masing-masing, sama seperti calon lelaki.

Azizah berkata wanita dalam GRS mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk dalam bidang pendidikan, perniagaan, industri dan perkhidmatan awam.

Menurutnya, pengalaman daripada pelbagai bidang tersebut boleh menjadi kelebihan untuk calon wanita dalam menyumbang kepada masyarakat serta membawa suara rakyat ke peringkat Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, seseorang calon perlu mempunyai pengalaman yang membolehkan mereka menyampaikan pandangan dan aspirasi rakyat secara berkesan di Dewan Parlimen.

Mahukan suara Sabah lebih kuat di peringkat nasional

Azizah berkata matlamat utama Wanita GRS ketika ini adalah memastikan calon-calon yang diketengahkan berjaya dalam pilihan raya dan memperoleh sebanyak mungkin kerusi bagi memastikan suara Sabah lebih kuat di peringkat nasional.

Katanya, perjuangan tersebut bukan sekadar berkaitan kepentingan politik atau peribadi, tetapi memberi tumpuan kepada perkara yang masih diperlukan oleh rakyat dan negeri Sabah.

Sesi Bergambar bersama dengan perwakilan yang hadir

Antara perkara yang perlu terus diperjuangkan termasuk usaha menangani kemiskinan, mendapatkan lebih banyak peruntukan pembangunan, meningkatkan akses kepada kemudahan serta memperkukuh sektor pendidikan.

“Kita mahu memastikan suara Sabah kuat di peringkat nasional. Banyak lagi yang perlu kita perjuangkan untuk Sabah dan kita bukan memikirkan soal peribadi, tetapi apa yang masih diperlukan oleh negeri kita dan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata perhatian juga perlu diberikan kepada daerah-daerah yang masih berdepan isu kemiskinan supaya pembangunan dapat dipertingkatkan dan rakyat mendapat peluang yang lebih baik.

Azizah turut menekankan kepentingan memastikan pembangunan dan akses kepada kemudahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada usaha memajukan rakyat Sabah.

Menurutnya, kekuatan suara Sabah di peringkat Persekutuan penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri serta kepentingan rakyat dapat terus diperjuangkan.

“Kita mahu di Persekutuan pun kita mempunyai suara yang kuat,” katanya.