Dewan Terbuka SMJ Taman Ria Meriah, Jiwa@Komuniti MADANI Kukuh Semangat Perpaduan

Dewan Terbuka SMJ Taman Ria Meriah, Jiwa@Komuniti MADANI Kukuh Semangat Perpaduan
TAWAU – Program Jiwa@Komuniti MADANI yang berlangsung di Dewan Terbuka SMJ Taman Ria dilihat sebagai antara platform penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Dr. Andi Md Shamsureezal, berkata program yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu mendapat sambutan amat baik daripada masyarakat.

Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menghimpunkan masyarakat, malah mewujudkan ruang kebersamaan antara rakyat dengan pemimpin serta pihak kerajaan.

“Program ini sangatlah mendapat sambutan yang sangat baik dan masyarakat, terutama, dan diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan golongan kanak-kanak dalam program itu turut menjadi aspek penting dalam menyemai semangat cintakan negara sejak usia muda.

Katanya, kanak-kanak seawal lima tahun turut dilibatkan menerusi aktiviti seperti pertandingan mewarna dan melukis yang berteraskan tema kenegaraan.

“Ini sangat baguslah untuk kita, terutamanya generasi-generasi muda kerana merekalah penerus kita di masyarakat itu,” katanya.

Dr. Andi berkata, pendekatan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam program sebegini dapat membantu membentuk generasi muda yang memahami nilai patriotisme, selain mengeratkan hubungan sesama komuniti.

Beliau turut berharap Program Jiwa@Komuniti MADANI dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan semangat perpaduan dan kebersamaan terus subur dalam masyarakat.