PETALING JAYA, 12 September 2026 – Dalam tempoh kurang enam bulan, MANDIRI berdepan beberapa episod yang meletakkannya di tengah-tengah perhatian, daripada penahanan aktivisnya ketika bantahan terhadap Tan Sri Azam Baki, himpunan anti-rasuah, penggantungan akaun media sosial X, pertikaian terbuka dengan Kamil Munim berhubung dakwaan dana asing, sehinggalah sekatan perjalanan dan pembekuan akaun bank pimpinan serta organisasinya.

MANDIRI, sebuah organisasi masyarakat sivil dipacu golongan muda yang ditubuhkan pada 2024, menyatakan fokusnya adalah memperkasa anak muda dan mahasiswa menerusi lima teras utama iaitu keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran kerajaan, keadilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Perkembangan terbaru membabitkan organisasi itu berlaku pada 10 September lepas apabila Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hadi, memaklumkan akaun bank peribadinya dan Pengarah Kewangan MANDIRI, Dobby Chew, telah disekat. Akaun bank MANDIRI serta HAYAT, sebuah NGO yang dikelolakan Dobby, didakwa turut dikenakan sekatan.

Menurut Amir, tindakan itu berlaku selepas beliau terlebih dahulu dimaklumkan mengenai sekatan untuk keluar negara, manakala Dobby berdepan masalah ketika pulang dari Jakarta selepas dimaklumkan terdapat sekatan daripada Bukit Aman sebelum akhirnya dibenarkan memasuki Malaysia.
MANDIRI mendakwa mereka tidak dihubungi atau diberikan penjelasan mengenai sekatan tersebut dan tidak pernah dipanggil untuk sebarang siasatan.
Sehari kemudian, Amir mengesahkan beliau telah menerima surat yang menyatakan sekatan terhadap akaun bank peribadinya dibuat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 631).
Bagaimanapun, Amir berkata sehingga ketika itu beliau masih belum dihubungi pihak polis untuk sebarang siasatan dan menegaskan dirinya serta MANDIRI tidak melakukan sebarang aktiviti jenayah.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk dipanggil, disiasat dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Perkembangan ini menjadi lebih signifikan apabila dilihat dalam konteks beberapa episod yang berlaku terhadap MANDIRI sepanjang Januari – September tahun ini.
Bermula dengan gerakan antirasuah dan penahanan aktivis
Pada April, MANDIRI menjadi perhatian selepas tiga aktivisnya ditahan ketika mengangkat sepanduk dikhalayak ramai, sewaktu ucaptama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (mantan) dalam satu program di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Tiga individu itu ialah penyelaras MANDIRI, Hamdin Nordin dan Fakrurrazzi, serta aktivis Liga Mahasiswa Malaysia, Ahsanul Akmal.
Mereka ditahan selepas mengangkat plakad bertulis “Tangkap Azam Baki”, ketika gerakan berkenaan kembali mengadakan mobilisasi untuk mendesak siasatan lebih menyeluruh dan telus terhadap kontroversi berkaitan dakwaan pemilikan saham Azam dan skandal ‘mafia korporat’.

Sehari selepas penahanan itu, akaun X rasmi MANDIRI pula digantung.
Ketika itu, MANDIRI mengesahkan penggantungan berkenaan sekaligus menyatakan usaha untuk mendapatkan semula akses sedang dijalankan dan berharap sekiranya terdapat unsur sabotaj, ia dihentikan.
Rentetan tersebut memperlihatkan kedudukan MANDIRI sebagai antara organisasi masyarakat sivil yang mengambil pendirian tegas dalam isu berkaitan rasuah, akauntabiliti institusi dan reformasi.
Dakwaan dana asing cetus pertikaian terbuka dengan Kamil
Pada Mei, MANDIRI sekali lagi menjadi tumpuan apabila timbul dakwaan bahawa organisasi itu menerima dana asing untuk tujuan politik dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan itu muncul menerusi video yang tular di media sosial dan kemudiannya dipadam. MANDIRI menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai serangan politik terhadap organisasi anak muda yang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk korupsi.
Dalam kenyataannya, MANDIRI menjelaskan bahawa organisasi itu memohon geran yang majoritinya disenaraikan secara umum bagi menampung kos operasi.
Bahkan, MANDIRI turut memiliki polisi dalaman untuk tidak menerima dana daripada mana-mana kerajaan, agensi kerajaan termasuk kerajaan Malaysia atau ahli politik bagi memastikan operasinya bebas daripada campur tangan politik.
MANDIRI turut menegaskan ia bukan parti politik dan tidak terlibat dalam usaha mengangkat atau menjatuhkan mana-mana Perdana Menteri.

Pada 17 Mei, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berkaitan dana asing yang dikatakan disalurkan kepada individu dan organisasi untuk aktiviti politik, termasuk operasi siber dan mobilisasi yang didakwa bertujuan menggugat kerajaan.
Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kemudian berkata dakwaan berkaitan pembiayaan asing itu wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan disahkan.
Dalam tempoh sama, tiga NGO iaitu Pembela Tanah Air (PETA), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) membuat laporan polis berkaitan dakwaan aliran dana asing yang turut dikaitkan dengan bekas menteri, Rafizi Ramli.
MANDIRI saman Kamil Munim RM10 juta
Pada 18 Mei, MANDIRI memberikan Kamil tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka atau berdepan tuntutan saman RM10 juta.
Pertikaian itu kemudiannya turut mencetuskan reaksi daripada beberapa bekas pemimpin PKR.
Pada 19 Mei, Ainie Haziqah Shafiee, bekas Ketua Wanita Muda PKR dan rakan sezaman Kamil dalam sayap pemuda parti itu, menyifatkan Kamil sebagai hipokrit kerana mempertikaikan MANDIRI berhubung dana asing.
Ainie berkata PKR sendiri pernah menerima sokongan, latihan dan bantuan daripada organisasi antarabangsa yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi, termasuk penyertaan aktivis muda dalam program latihan dan pembangunan kepimpinan yang dibiayai pihak luar.
Pada masa sama, bekas pemimpin PKR, Iswardy Morni turut membuat kenyataan bahawa beliau boleh mengesahkan PKR dan Kamil menerima dana asing, susulan polemik berkenaan.

Pada 23 Jun, organisasi itu memaklumkan peguamnya telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kenyataan Kamil yang didakwa memfitnah MANDIRI.
Dalam kenyataan tersebut, MANDIRI mendakwa Kamil telah mengaitkan organisasi itu dengan penerimaan dana asing bagi tujuan propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, menjadi ancaman kepada keselamatan negara serta bertindak sebagai proksi kuasa asing.
MANDIRI turut menyatakan Kamil mengaitkan tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada Amir dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI.
Dari dakwaan dana asing kepada sekatan perjalanan
Beberapa bulan kemudian, pada 3 September, Amir memaklumkan beliau telah dikenakan sekatan daripada keluar negara tanpa diberikan penjelasan mengenai sebab tindakan tersebut.

Amir berkata beliau akan menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan dan proses bagi membolehkan sekatan tersebut ditarik balik.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa MANDIRI bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya terdapat siasatan terhadap dirinya atau organisasi berkenaan.
Namun perkembangan itu tidak berhenti di situ.

Pada 10 September, Amir mengumumkan bahawa bukan sahaja perjalanan beliau disekat, malah akaun bank peribadinya dan Dobby turut dibekukan.
Akaun organisasi MANDIRI dan HAYAT juga, menurut beliau, dikenakan tindakan sama.
Mandiri menyifatkan perkembangan itu sebagai “intimidasi berterusan” dan meminta pihak berkuasa memberikan penjelasan serta menarik balik sekatan.

Organisasi itu turut menegaskan bahawa ia tidak terlibat dalam percaturan politik atau usaha menjatuhkan Anwar, sebaliknya bekerja untuk memperkasa anak muda dan mahasiswa berdasarkan lima terasnya.
Solidariti masyarakat sivil dan parti politik
Perkembangan tersebut kemudian menerima reaksi daripada beberapa pihak.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz, menyatakan solidariti kepada Amir dan Dobby serta menyifatkan sekatan akaun bank dan perjalanan mereka sebagai tekanan terhadap aktivis yang bersuara menentang korupsi.
Beliau turut mendakwa terdapat layanan dua darjat apabila sesetengah ahli politik yang berdepan pertuduhan atau kes prima facie masih bebas bergerak.

Naib Presiden MUDA, Ahmad Zarul Afiq pula menggesa supaya intimidasi terhadap CSO dihentikan dan meminta pihak berkuasa menjelaskan asas undang-undang serta siasatan jika benar terdapat kes terhadap pimpinan MANDIRI.
BERSIH turut menzahirkan solidariti kepada MANDIRI dan HAYAT, dengan menyifatkan pembekuan akaun organisasi serta akaun peribadi Amir dan Dobby sebagai tindakan yang boleh mengancam ruang masyarakat sivil dan suara kritikal terhadap kerajaan.
Dalam satu kenyataan Human Rights Working Group Parti BERSAMA yang ditandatangani antara lain oleh Wong Chen, kumpulan itu pula mengecam pembekuan akaun peribadi dan sekatan perjalanan terhadap Amir dan Dobby.

BERSAMA menyatakan MANDIRI selama ini mengadvokasi isu antirasuah, kebebasan berhimpun serta kebebasan mahasiswa dan akademik, selain menyatakan kempen organisasi itu mengenai kebebasan, hak asasi dan tadbir urus baik mendapat sambutan daripada parti politik merentasi blok politik.
Kumpulan itu turut berhujah bahawa penerimaan dana asing yang sah, dengan sendirinya, bukan satu kesalahan melainkan kerajaan dapat membuktikan aktiviti yang dibiayai adalah bersifat jenayah.
Namun, pandangan tersebut merupakan pendirian BERSAMA dan bukan penentuan terhadap status atau hasil siasatan pihak berkuasa.
Apa yang diketahui setakat ini?
Setakat perkembangan terbaru, Amir telah mengesahkan bahawa sekatan terhadap akaun bank peribadinya dibuat di bawah Seksyen 44(1) Akta 631.
Pada masa sama, beliau berkata dirinya masih belum dipanggil polis untuk sebarang siasatan dan menegaskan kesediaan untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.
MANDIRI pula menolak sebarang penglibatan dalam aktiviti jenayah serta menegaskan organisasi itu akan terus menjalankan kerja advokasi berkaitan keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran, keadilan ekonomi dan alam sekitar.
Apa yang masih belum dijelaskan secara terbuka ialah butiran siasatan yang membawa kepada sekatan tersebut dan sama ada terdapat hubungan rasmi antara tindakan terbaru berkenaan dengan kontroversi dana asing yang tercetus pada Mei lalu.
Apa yang jelas ialah MANDIRI kini berdepan satu lagi episod paling serius sejak organisasi itu muncul sebagai antara CSO muda yang aktif dalam isu antirasuah, hak asasi dan reformasi demokrasi.
Daripada penahanan aktivis ketika kempen #TangkapAzamBaki, penggantungan akaun X, kontroversi dana asing dan pertikaian undang-undang dengan Ketua AMK, kepada sekatan perjalanan serta pembekuan akaun bank, rentetan perkembangan sepanjang 2026 telah menjadikan MANDIRI semakin berada di tengah-tengah perdebatan mengenai kebebasan ruang masyarakat sivil di Malaysia.
#TawauKini
