KUALA LUMPUR, 1 Mac 2026 – Telemovie berunsur dakwah dan konflik penyiasatan, Ustaz Detektif bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 1 Mac (Ahad), jam 9 malam bersamaan 11 Ramadan.
Istimewanya, telemovie arahan Firdaus Jenar terbitan Tirai Kirana Production ini turut menampilkan bakat anak jati Tawau, Acok Khan yang membawakan watak Kamal.
Kehadiran Acok Khan dalam naskhah ini sekali gus menjadi kebanggaan warga Tawau apabila anak tempatan diberi peluang menyerlah di siaran televisyen peringkat nasional.
Ustaz Detektif mengisahkan perjalanan seorang bekas inspektor PDRM yang kini bergelar ustaz dalam menentang kebatilan agama serta membantu menegakkan kebenaran. Watak utama Ustaz Azmi dibawakan oleh Wans Ahmad, bergandingan bersama Isyariana sebagai Inspektor Saleha dan Bobby Kiran sebagai Aisyah, seorang peguam.
Turut membintangi telemovie ini ialah Josiah Hogan sebagai Zamzuri (mudir), Qistina Khalid sebagai Hana serta barisan pelakon pembantu lain. Penggambaran telemovie ini dijalankan sepenuhnya di Kuala Lumpur.
Orang ramai dijemput menyaksikan Ustaz Detektif pada 11 Ramadan ini, jam 9 malam di TV3.
#TawauKini




