Dua laporan polis diterima, Konsert Israel & New Breed di Kota Kinabalu jadi perhatian

Dua laporan polis diterima, Konsert Israel & New Breed di Kota Kinabalu jadi perhatian

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima dua laporan polis berkaitan penganjuran konsert Israel & New Breed yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap reaksi serta kegusaran masyarakat susulan hebahan mengenai penganjuran konsert berkenaan yang tersebar luas di media sosial.

Menurutnya, polis kini menjalankan pemantauan serta mengambil keterangan daripada pihak tertentu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung penganjuran acara itu.

“Setakat ini ada dua laporan polis yang kita terima. Kita akan terus membuat pemantauan dan mengambil keterangan daripada pihak-pihak tertentu berkaitan dengan konsert ini.

“Kita juga menasihatkan mereka supaya mengambil perhatian serius terhadap sensitiviti dalam kalangan masyarakat pada masa kini,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah belum menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan berkaitan penganjuran konsert berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga dimaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada pihak penganjur meskipun maklumat berkaitan tarikh, lokasi dan harga tiket telah tersebar di media sosial.

Menurutnya, sekiranya permohonan rasmi dikemukakan, kerajaan negeri boleh mendapatkan pandangan PDRM sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penganjuran acara tersebut.

“Memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihati supaya konsert ini tidak diadakan dahulu.

“Kita menasihati kerajaan negeri yang menerima permohonan ini untuk membuat keputusan dan pemakluman kepada pihak pemohon,” katanya.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, setakat ini tiada sebarang seksyen siasatan dibuka berhubung isu berkenaan.

“Tindakan yang kita boleh buat adalah memberikan nasihat berdasarkan reaksi masyarakat dalam media sosial dan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata, PDRM turut mengambil kira reaksi masyarakat yang antara lain dikaitkan dengan kekeliruan mengenai nama artis serta dakwaan berhubung pendirian artis terbabit terhadap Israel.

Bagaimanapun, katanya, perkara utama yang menjadi perhatian polis adalah aspek sensitiviti masyarakat dan ketenteraman awam.

“Yang penting di sini adalah kita melihat kepada sensitiviti masyarakat dan ketenteraman masyarakat.

“Kita akan berusaha memastikan mana-mana sensitiviti yang boleh menimbulkan sesuatu yang menyebabkan ketenteraman tergugat, maka kita akan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Jauteh berkata, PDRM akan terus memantau perkembangan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara serta masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selamat.