Stadium utama kembali bergema! TMC FC, NABT buka tirai Liga SAFA Tawau 2026

Stadium utama kembali bergema! TMC FC, NABT buka tirai Liga SAFA Tawau 2026

TAWAU: Liga SAFA Tawau 2026 membuka tirainya semalam dengan aksi Piala Sumbangsih yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Tawau, sekali gus menandakan bermulanya saingan bola sepak daerah berkenaan bagi musim ini.

Perlawanan pembukaan itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang hadir menyaksikan aksi selain meluangkan masa menyantuni pemain, pegawai pasukan serta penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Aksi Piala Sumbangsih menyaksikan TMC Football Club yang diketuai Sharizam Sahar berdepan Geng NABT Tawau di bawah pimpinan Park Taesu.

liga safa tawau

Pertembungan kedua-dua pasukan itu menjadi pembuka tirai kepada saingan Liga SAFA Tawau 2026 yang dijangka terus menghidupkan lagi suasana bola sepak di daerah berkenaan.

Kehadiran penyokong di stadium turut memberi gambaran terhadap sokongan terhadap perkembangan bola sepak tempatan, khususnya dalam kalangan peminat di Tawau dan kawasan sekitarnya.

Menurut Nizam, penganjuran liga seperti itu penting sebagai platform untuk mencungkil dan mengembangkan bakat baharu dalam sukan bola sepak, khususnya membabitkan pemain tempatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan serta sambutan yang diberikan, yang secara tidak langsung membantu menyemarakkan lagi suasana bola sepak di Tawau.

Pada program sama, Nizam turut menyampaikan beberapa hadiah cabutan bertuah selain menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Madrasah Az Ziyad, Blok 5 Laut, Kampung Titingan.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang bakal mengharungi saingan Liga SAFA Tawau 2026 serta berharap keseluruhan pertandingan dapat berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan.

Dengan pembukaan Piala Sumbangsih semalam, perhatian peminat bola sepak Tawau kini beralih kepada perjalanan saingan Liga SAFA Tawau 2026 yang bakal menghimpunkan pasukan-pasukan untuk merebut peluang mencipta kejayaan di pentas bola sepak tempatan.