Taman Sawit Balung Meriah! Penduduk Berganding Bahu Semarakkan Bulan Kemerdekaan

Taman Sawit Balung Meriah! Penduduk Berganding Bahu Semarakkan Bulan Kemerdekaan

TAWAU – Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran KRT Taman Sawit Balung berlangsung meriah apabila penduduk setempat berganding bahu menjayakan pelbagai aktiviti bersempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Program yang berlangsung di Dewan Terbuka Taman Sawit itu turut menyaksikan pelbagai pertandingan diadakan, termasuk Rumah Merdeka, pertandingan mewarna dan pertandingan hidangan Merdeka, selain cabutan bertuah untuk para peserta dan pengunjung.

Pengerusi Masjid Al-Ansar Taman Sawit, Datuk Sabran Abd Hamid, yang merasmikan program berkenaan, berkata semangat kejiranan yang ditunjukkan penduduk menjadi antara kekuatan utama dalam memastikan penganjuran program berjalan lancar.

Menurut beliau, penduduk Taman Sawit bukan sahaja hadir memeriahkan program, malah turut berganding bahu menyumbangkan tenaga dalam menjayakan aktiviti yang dirancang.

“Semangat kejiranan yang didambakan, semuanya berganding bahu menyumbang tenaga demi memastikan program terlaksana.

“Saya terharu dan bangga melihat penglibatan penduduk dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran aktiviti sebegini turut memberi peluang kepada penduduk daripada pelbagai peringkat usia untuk bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana santai dan penuh kemeriahan.

Antara aktiviti yang mendapat perhatian ialah pertandingan mewarna yang dibahagikan kepada kategori umur 4 hingga 6 tahun, 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun, selain pertandingan hidangan bertemakan Merdeka.

Sabran turut memaklumkan beberapa aktiviti tambahan dirancang untuk penganjuran akan datang bagi memastikan program kemasyarakatan di Taman Sawit terus berkembang.

Antaranya termasuk sukaneka, pertandingan lagu patriotik dan pertandingan busana Merdeka.

Katanya, kepelbagaian aktiviti itu diharap dapat terus menarik penglibatan penduduk serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam komuniti.

Sambutan berkenaan sekali gus memperlihatkan bagaimana semangat kejiranan dan kerjasama penduduk mampu menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan di peringkat komuniti.

Anjuran KRT Taman Sawit, program itu menjadi wadah penduduk berkumpul, bergembira dan menyemarakkan semangat patriotik bersama-sama.