[Video] Tular barang peniaga sirih disepak di Balakong

[Video] Tular barang peniaga sirih disepak di Balakong
TERKINI | Seorang individu bernama Fairul Fizi yang turut menggelar dirinya sebagai ‘tokoh masyarakat’ menjadi perhatian selepas rakaman tindakannya bersama kumpulan dikenali ‘Skuad Langgar’ tular berikutan insiden terhadap penjual sirih di sebuah kawasan di Balakong.

Berdasarkan rakaman yang dimuatnaik, dia dan kumpulannya dilihat tiba di lokasi sebelum berdepan dengan seorang lelaki yang didakwa warga asing menjual sirih di kawasan awam tanpa kebenaran.

Kumpulannya kemudian dilihat meminta penjual berkenaan mengemas barang dagangannya dan meninggalkan lokasi terbabit.

Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila anggota kumpulan berkenaan dilihat menengking, menendang dan menyepak barang jualan sehingga berselerak di atas jalan raya.

Rakaman tersebut kemudiannya mendapat perhatian masyarakat dengan wujudnya pelbagai reaksi terhadap tindakan Fairul dan kumpulan berkenaan.

Susulan video tular, Fairul yang juga menggelar diri sebagai ‘tokoh masyarakat’ itu tampil memberikan penjelasan menerusi hantaran berasingan dengan mendakwa individu terbabit cuba menawarkan rasuah kepada anggota ‘Skuad Langgar’, namun ditolak.

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan kedua-dua pihak berbalas pertengkaran sebelum keadaan menjadi semakin tegang.

Dalam hantaran sama, Fairul mengakui terdapat anggota kumpulan yang bertindak di luar kawalan ketika kejadian dan mendakwa individu tersebut telah disingkirkan daripada pasukan.

Bagaimanapun, dakwaan berkaitan cubaan rasuah, status kewarganegaraan serta rekod jenayah kedua-dua lelaki terbabit tidak dapat disahkan.

Insiden itu terus menjadi perhatian susulan persoalan mengenai tindakan kumpulan terbabit ketika berdepan dengan individu yang didakwa melakukan kesalahan di kawasan awam.

#TawauKini