6,000 liter diesel bersubsidi disyaki diseleweng di Tawau, lori tangki RM125,420 disita

6,000 liter diesel bersubsidi disyaki diseleweng di Tawau, lori tangki RM125,420 disita

TAWAU: Kegiatan disyaki menyeleweng kira-kira 6,000 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan kad fleet terbongkar selepas polis menjalankan pemantauan dan risikan di sekitar Jalan Sin San, di sini.

Susulan operasi itu, sebuah lori tangki jenis Nissan bersama muatan diesel berkenaan disita, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM125,420.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau dalam kenyataan memaklumkan, kes berkenaan diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihaknya hari ini untuk tindakan lanjut.

Menurut KPDN Tawau, serahan kes itu dibuat selepas polis mengesan kegiatan mencurigakan menerusi pemantauan dan risikan di kawasan terbabit.

“Hasil serahan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kesalahan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan barang kawalan,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut mengingatkan bahawa individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.

Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat yang disabitkan kesalahan, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda sehingga RM5 juta.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan atau penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690.