Cubaan masuk ikut ‘jalan tikus’ gagal, tiga warga asing ditahan di Jeti Awam Tawau

Cubaan masuk ikut ‘jalan tikus’ gagal, tiga warga asing ditahan di Jeti Awam Tawau

TAWAU: Cubaan tiga lelaki warga asing memasuki Sabah melalui laluan tidak diwartakan gagal selepas mereka ditahan polis dalam operasi membanteras Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Jeti Awam, atau CIQS lama, di sini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan di hadapan pos pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata penahanan itu dibuat hasil tindakan Unit Task Force, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, sepasukan anggota menjalankan pemerhatian di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam berkaitan pergerakan mencurigakan.

“Hasil pemerhatian itu membawa kepada pengesanan ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan alternatif yang tidak diwartakan.

Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Menurut beliau, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis membanteras kegiatan penyeludupan, kemasukan PTI serta ketirisan di kawasan jeti awam yang dikenal pasti sebagai antara laluan masuk ke bandar Tawau.

Dalam pada itu, Rosdi menggesa orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang aktiviti kemasukan individu tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

“Kerjasama masyarakat penting bagi membantu pihak berkuasa memperketat kawalan di kawasan laluan masuk serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Tawau terus terpelihara,” katanya.

Sumber : Polis Daerah Tawau