TAWAU – Sambutan luar biasa warga Tawau terhadap Program Menata Hati mencerminkan keperluan masyarakat terhadap pengisian keagamaan yang dapat meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama NGO Selawat Tawau itu mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, program yang menampilkan penceramah khas dari negara jiran, Ustaz Hilman Fauzi, itu pada awalnya diadakan di Dewan Masyarakat Tawau yang berkapasiti sekitar 3,000 orang.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran dilaporkan mencecah sehingga kira-kira 5,000 orang sehingga sebahagian peserta terpaksa duduk di lantai dewan.
“Ini menunjukkan bahawa warga Tawau memang dahagakan program-program keagamaan untuk meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Sudah pasti program ini memberikan banyak pendidikan dan pengetahuan, khususnya kepada muslimin dan muslimat termasuk kaum ibu yang ramai hadir pada hari ini,” katanya.
Menurut Nizam, antara pengisian yang diketengahkan ialah cara mengurus hati bagi mencapai ketenangan dalam kehidupan.
Katanya, seseorang perlu mempunyai keyakinan, reda dan berasa cukup dengan segala ketentuan serta pemberian Allah SWT untuk memperoleh ketenangan hati.
Dalam pada itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan dianjurkan lagi pada masa akan datang kerana memberi manfaat kepada masyarakat.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada penganjur serta penceramah khas atas usaha menjayakan program berkenaan.
Beliau pada masa sama menekankan kepentingan penganjuran program keagamaan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pihak berautoriti agama bagi memastikan kandungan yang disampaikan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan terdapat pihak yang berselindung di sebalik agama menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Apapun program yang ingin kita anjurkan, kita harus mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak yang berautoriti dalam agama Islam di negara kita, khususnya di Sabah,” katanya.