TERKINI | Jabatan Air Sabah mengesahkan berlaku pencemaran air mentah yang menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Jalan Utara, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah ini.
Menerusi notis gangguan bekalan air kecemasan bertarikh 21 Oktober 2026, Jabatan Air Sabah memaklumkan penutupan sementara operasi loji berkenaan terpaksa dilakukan susulan pencemaran yang menjejaskan kualiti air mentah.
Menurut notis itu, gangguan bekalan air melibatkan sebahagian kawasan Air Panas, sebahagian Jalan Chong Thien Vun, keseluruhan kawasan Sin Onn, Ma On San dan Jalan Timur, selain Taman Milenium, Kampung Kongsi 10 dan Kongsi 8.
Turut terjejas ialah kawasan sepanjang Jalan Chong Thien Vun, Batu 2 hingga Batu 6, seluruh kawasan Ranggu, Taman Ranggu Saujana, Taman Alamanda, Flat PPRT Batu 8 Jalan Apas, Batu 10 serta Bandar Sri Indah Batu 10 dan kawasan sekitarnya.
Jabatan Air Sabah memaklumkan tempoh gangguan bergantung kepada keadaan sehingga kualiti air mentah kembali normal, manakala pemulihan bekalan air akan dilaksanakan secara berperingkat. Pelanggan di kawasan terjejas turut dinasihatkan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan.
Dalam kenyataan berasingan, jabatan itu memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan serta menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan tidak membuang sampah atau bahan pencemar ke dalam sungai bagi melindungi sumber air. Jabatan itu turut memaklumkan pemantauan kualiti air mentah akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membolehkan operasi loji dipulihkan apabila keadaan kembali normal.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh disalurkan menerusi talian Hotline Jabatan Air Tawau di 089-502666.
#TawauKini

