16 Rumah Musnah Dalam Kebakaran, Kerajaan Salur Bantuan Kepada Mangsa Tawau

16 Rumah Musnah Dalam Kebakaran, Kerajaan Salur Bantuan Kepada Mangsa Tawau

TAWAU – Seramai 69 keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Taman Fook Hwa, Lorong Mat Salleh, Batu 2, Jalan Apas, menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membantu meringankan beban mereka selepas ditimpa musibah.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, yang mewakili Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Tawau hari ini.

May be an image of one or more people and text
Kredit Gambar : APM Tawau

Mustapha berkata, kerajaan turut merancang menyalurkan bantuan tambahan kepada keluarga terjejas menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi berkaitan yang akan diselaraskan oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terkesan dan berharap bantuan berkenaan dapat membantu mereka menghadapi tempoh sukar selepas kehilangan kediaman.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga ketika menguruskan kediaman, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan berjerebu ketika ini.

Menurutnya, penggunaan dapur serta peralatan elektrik perlu dipantau dengan teliti bagi mengurangkan risiko kebakaran yang boleh mengancam keselamatan penghuni dan memusnahkan harta benda.

“Mohon supaya kita dapat meminimumkan risiko kebakaran yang sering berlaku semasa cuaca panas ini,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan berkenaan.

May be an image of one or more people, helicopter, speaker and text
Kredit Gambar : APM Tawau

Mengulas bantuan pengurusan bencana, Mustapha berkata peruntukan NADMA telah ditingkatkan kepada RM260 juta menerusi Belanjawan yang diumumkan baru-baru ini, sekali gus menyediakan sokongan lebih besar bagi membantu mangsa bencana, termasuk mereka yang terjejas akibat kebakaran.

Beliau turut memaklumkan bantuan pembaikan rumah melalui NADMA dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Kebakaran yang berlaku pada Jumaat lalu itu memusnahkan 16 rumah dan mengakibatkan seramai 257 orang terjejas, berdasarkan jumlah terkini yang dimaklumkan.

Bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal, bantuan berkenaan diharap dapat menjadi sokongan awal sementara usaha pemulihan dan bantuan susulan dilaksanakan oleh pihak berkaitan. – Astro Awani