KUALA LUMPUR: Semua perolehan kontrak kerajaan akan dipaparkan secara terbuka kepada umum mulai tahun depan bagi membolehkan rakyat memantau pelaksanaan projek pembangunan, termasuk kos, syarikat penerima kontrak dan kemajuan kerja.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh tatakelola, meningkatkan ketelusan perolehan serta membendung ketirisan dan pembaziran wang rakyat.
Menurut beliau, maklumat berkaitan setiap kontrak akan dibuka untuk akses awam supaya masyarakat, termasuk penduduk di kawasan projek dilaksanakan, dapat menilai sendiri kemajuan dan pelaksanaan projek berkenaan.

“Mulai tahun depan, setiap kontrak membina sekolah, hospital, universiti mahupun jalan raya mesti dibuat secara telus.
“Rakyat boleh tahu siapa yang menang, berapa jumlahnya, syarikat mana yang dapat, kos dan tahap kemajuannya, serta sebab syarikat itu dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Anwar memberikan contoh projek pembinaan sekolah baharu di Tumpat, yang membolehkan penduduk setempat mengakses maklumat berkaitan kontraktor, nilai kontrak dan perkembangan pembinaannya.
Langkah itu, katanya, akan memberi ruang kepada rakyat untuk menilai sama ada projek dilaksanakan dengan baik serta oleh kontraktor yang bertanggungjawab.
Ketirisan dana jejaskan kepentingan rakyat
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengukuhan tatakelola amat penting memandangkan ketirisan akibat rasuah sebelum ini menyebabkan berbilion ringgit dana negara yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan dan kemudahan rakyat terjejas.
Beliau menegaskan, usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa memerlukan komitmen berterusan, termasuk penglibatan masyarakat dalam memantau pelaksanaan projek kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa generasi muda dan mahasiswa supaya berani menyuarakan pandangan serta bertindak sebagai suara hati nurani masyarakat dalam menentang ketidakadilan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Mahasiswa bebas mengkritik kerajaan
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara mahasiswa, malah komited meminda atau memansuhkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat mengehadkan kegiatan mereka.
Beliau menegaskan bahawa mahasiswa tidak seharusnya berdepan tindakan pendakwaan semata-mata kerana mengemukakan idea atau kritikan, termasuk terhadap kepimpinan kerajaan.
“Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana mempunyai idea atau kritikan, termasuk jika pimpinan mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.
Pengumuman mengenai pendedahan maklumat kontrak kerajaan itu dijangka menjadi perhatian dalam usaha meningkatkan pemantauan awam terhadap perbelanjaan pembangunan, khususnya dari segi pemilihan kontraktor, nilai kontrak dan kemajuan projek.