KOTA KINABALU – Nasib penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya yang berdepan tindakan perobohan struktur kediaman dipertimbangkan untuk penangguhan, khususnya bagi memberi ruang kepada keluarga yang mempunyai anak sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri memahami kesulitan yang dihadapi penduduk, namun tindakan terhadap penempatan setinggan berkenaan tetap perlu berpandukan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.
Menurutnya, Kampung Pondo merupakan penempatan yang semakin padat dengan kediaman, sedangkan kawasan berkenaan terletak di kawasan pulau yang menjadi lokasi peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan rumah.
Hajiji menjelaskan, penduduk sudah lama diberikan nasihat supaya tidak membina kediaman di kawasan itu, malah status berkenaan tidak berubah meskipun penempatan tersebut telah wujud selama kira-kira 40 tahun.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menetapkan supaya penempatan setinggan dipindahkan atau dirobohkan sebagai sebahagian daripada perancangan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan tindakan tersebut tidak bermaksud kerajaan mengabaikan kebajikan penduduk, sebaliknya usaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas turut menjadi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ahad.
Hajiji turut menyuarakan rasa kesal apabila tindakan penguatkuasaan kerajaan sering dikaitkan dengan dakwaan tidak prihatin terhadap rakyat, sedangkan penduduk perlu memahami bahawa kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.
Kerajaan negeri, katanya, tetap perlu melaksanakan peraturan yang ditetapkan, sambil berusaha mengatur langkah supaya penduduk yang terkesan tidak terabai.
Sumber : Sabah Media