TAWAU – Aksi dua lelaki yang nekad merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan orang awam dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan, tular di media sosial sejak semalam, mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Insiden dramatik yang berlaku sekitar jam 1.45 petang di persimpangan lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, berjaya dirakam oleh orang awam dan menunjukkan bagaimana sebuah kenderaan pacuan empat roda bertindak melulu merempuh laluan trafik.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin bin Piuh, kejadian itu berlaku ketika sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang menjalankan Op Tapis, setelah mengesan kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan mengekori suspek dan cuba menyekat mereka berhampiran kawasan perindustrian Batu 3. Namun, suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan beberapa kenderaan awam,” katanya.
Suspek kemudiannya melarikan diri sehingga ke simpang Jalan Apas sambil memandu secara berbahaya dan terus melanggar lebih banyak kenderaan di sepanjang laluan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Bagaimanapun, hasil kepantasan pihak polis, kedua-dua suspek berjaya dikepung dan ditahan di lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.13 gram, dengan nilai anggaran RM400.
Kedua-dua suspek, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 18 tahun, turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan individu lain yang mungkin terlibat,” tambah beliau.
Polis turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan membahayakan keselamatan awam.
Superintendan Champin turut menggesa masyarakat agar tidak melindungi pengedar dadah dan mengajak semua pihak untuk menyalurkan maklumat jenayah melalui saluran rasmi pihak polis.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu polis membanteras kegiatan pengedaran dadah yang mengancam keselamatan dan keharmonian komuniti,” katanya.
Sumber : Facebook Page Polis Daerah Tawau
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.