Di Sabah, rasuah pilihan raya jarang dipanggil dengan nama sebenar. Ia dilunakkan dengan istilah yang kononnya tidak berdosa, “manis-manis”.
RM100, RM200, ada yang sampai RM300, diselit dalam sampul, diserahkan dengan senyuman dan ayat klasik “ambil saja, ini sumbangan.” Namun di sebalik kemanisan sementara itu, tersembunyi racun yang merosakkan demokrasi dan menghancurkan masa depan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Budaya ini bukan rahsia. Menjelang hari-hari akhir kempen, cerita tentang kawasan yang “dibom” dengan wang tunai cukup pantas diketahui. Ada kawasan dikatakan menerima ‘bom’ RM2 juta, ada RM1 juta, ada RM500 ribu.
Istilah ‘dibom’ bukan metafora kosong, ia merujuk kepada sejumlah besar wang yang mengalir deras untuk diagihkan kepada pengundi, khususnya pada saat-saat kritikal sebelum hari pengundian. Demokrasi tidak lagi dipertandingkan atas integriti, dasar atau prinsip, tetapi dilelong kepada siapa yang paling tebal poketnya.
Apa yang lebih tragis, rasuah pengundi ini berlaku ketika rakyat Sabah hidup dalam derita infra yang berpanjangan. Jalan raya rosak teruk bukan sehari dua, tetapi sudah berpuluh tahun. Krisis bekalan air berlaku hampir di seluruh negeri, manakala gangguan elektrik menjadi rutin yang dianggap takdir.
Dalam masa sama, ratusan ribu anak Sabah terpaksa merantau keluar negeri, ke Semenanjung, malah ke luar negara seperti Jepun dan Korea, kerana peluang pekerjaan di tanah sendiri terlalu terhad, ditambah gaji yang tidak bermaruah.
Ironinya, wang berjuta-juta yang ‘dibom’ ketika pilihan raya itu bukan wang yang jatuh dari langit. Ia wang yang sepatutnya boleh membina jalan, menaik taraf sistem air, menambah baik grid elektrik, atau mencipta peluang pekerjaan mampan.
Tetapi apabila politik wang menjadi budaya, pembangunan bertukar menjadi retorik, dan penderitaan rakyat dianggap kos sampingan yang boleh diterima.
Lebih membimbangkan, ‘manis-manis’ ini telah merosakkan cara fikir sebahagian rakyat. Ada yang mula menganggap rasuah pilihan raya sebagai hak, bukan jenayah. Ada yang berkata, “ambil saja, undi belum tentu.”
Logik ini mungkin kelihatan praktikal, tetapi hakikatnya ia mengekalkan kitaran penindasan politik yang sama. Setiap RM200 yang diterima hari ini telah menjadi undi senyap untuk lima tahun kegagalan akan datang.
Sabah tidak miskin. Sabah dimiskinkan oleh budaya politik wang yang dibiarkan berakar. Selagi ‘manis-manis’ dianggap biasa, selagi itulah masa depan negeri ini terus digadai dengan harga yang terlalu murah.
Kita boleh bicara panjang soal maruah, hak dan masa depan anak-anak kita. Namun dengan sekeping wang yang habis dibelanjakan dalam sehari, kita lupa kesan yang menghantui kita selama bertahun-tahun.
Tulisan ini dikirim melalui emel oleh seorang penulis yang hanya ingin dikenali sebagai PRC.
Penafian : Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian TawauKini. Jika anda memiliki tulisan / pendapat / ulasan untuk diterbitkan, sila emel ke [email protected]


