Tandas RM11.8 Juta – DAP Sabah buka mulut, gesa audit menyeluruh

dap sabah

TERKINI | DAP Sabah mempersoalkan pengurusan dan tahap kebertanggungjawaban Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan kecacatan berulang dalam projek naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), walaupun kemudahan itu telah diperakui siap.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata beberapa lawatan tapak mendapati mutu kerja masih tidak memuaskan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kawalan kualiti, penyeliaan serta sistem pemeriksaan projek.

Isu itu turut mendapat perhatian umum apabila kos naik taraf dianggarkan sekitar RM400,000 bagi setiap tandas, namun masih menunjukkan pelbagai kecacatan ketara.

Menurut Phoong, antara kecacatan dikenal pasti termasuk jubin tidak rata, kemasan kasar, pemasangan longgar, kebocoran air, peralatan tidak berfungsi serta mutu kerja keseluruhan yang gagal memenuhi piawaian asas.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM11.8 juta bagi menaik taraf 26 tandas di KKIA, dengan 20 daripadanya dilaporkan siap manakala baki enam dijangka siap sekitar April atau Mei ini, namun isu kualiti yang sama terus berulang walaupun teguran telah dibuat.

Phoong memaklumkan perkara itu telah dibangkitkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memberi jaminan akan meneliti isu berkenaan dan mengambil tindakan susulan.

Beliau menegaskan MAHB perlu bertanggungjawab sepenuhnya, termasuk menjelaskan proses pemilihan kontraktor, membaiki semua kecacatan, menjalankan audit menyeluruh serta memastikan kebertanggungjawaban, memandangkan KKIA merupakan pintu masuk antarabangsa utama Sabah.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *