SEMPORNA, 9 Mac 2026 – “Allahuakbar, untuk apa? Mana dokumen yang sudah disediakan dan dihantar kepada JPN?”, “Hal inilah yang menyebabkan ramai orang kampung berhenti menguruskan dokumen mereka akibat mendapat pemakluman yang kabur dan mengelirukan dari pihak JPN,” demikian antara luahan guru Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang ketika menceritakan pengalaman membantu seorang pelajarnya yang dinafikan mendapatkan dokumen pengenalan walaupun ibunya merupakan warganegara Malaysia.
Menurut beliau, usaha membantu pelajarnya yang dikenali sebagai Jolina telah berlangsung hampir setahun, bermula dari Februari 2025 hingga Februari 2026, dengan pelbagai prosedur yang perlu dilalui di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Semporna. Sepanjang tempoh itu, Mukmin berkata beliau dan keluarga Jolina telah berulang kali hadir ke pejabat JPN bagi melengkapkan dokumen yang diminta, termasuk menyediakan laporan polis, membuat pengesahan di hadapan pesuruhjaya sumpah serta menghadirkan saksi-saksi daripada ahli keluarga.
Namun selepas setahun berusaha mengikuti prosedur yang ditetapkan, permohonan Jolina akhirnya ditolak, sesuatu yang menurutnya amat mengecewakan.
Lebih mengejutkan, penolakan tersebut pada awalnya dimaklumkan secara lisan tanpa surat rasmi dan tanpa penjelasan jelas tentang sebab penolakan atau langkah seterusnya yang boleh diambil oleh pemohon. Beliau kemudian kembali ke pejabat JPN untuk menuntut penjelasan yang lebih konkrit.
Pada awalnya, pegawai memaklumkan bahawa permohonan tersebut telah ditolak, namun tidak disertakan dengan dokumen rasmi. Beliau kemudian meminta supaya satu surat penolakan rasmi dikeluarkan bagi memudahkan pemohon mengambil tindakan lanjut seperti rayuan atau penyediaan bukti tambahan.
Selepas didesak, surat tersebut akhirnya dikeluarkan kira-kira seminggu kemudian, yang menyatakan bahawa bukti kelahiran tidak kukuh.
Namun Mukmin mempersoalkan alasan itu kerana menurutnya semua dokumen yang diminta sebelum ini telah disediakan mengikut arahan JPN, termasuk surat akuan bersumpah bagi menggantikan dokumen yang tiada serta kehadiran saksi daripada keluarga termasuk ibu kandung Jolina sendiri.
Lebih membingungkan, menurut beliau, pihak JPN kemudian meminta supaya semua dokumen disediakan semula dari awal, walaupun dokumen-dokumen tersebut telah pun diserahkan sebelum ini.
Beliau menyifatkan keadaan itu bukan sahaja membebankan pemohon, malah menimbulkan persoalan mengenai pengurusan dokumen yang telah dihantar kepada pihak berkuasa.
Dalam masa yang sama, Mukmin menegaskan bahawa kes tersebut juga menyentuh soal hak kewarganegaraan yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang boleh menjadi warganegara Malaysia secara automatik (operation of law) sekiranya dilahirkan di Malaysia dan sekurang-kurangnya salah seorang ibu atau bapanya merupakan warganegara.

Dalam kes Jolina, ibunya memiliki kad pengenalan Malaysia, namun kekangan dokumentasi semasa kelahiran menyebabkan proses mendapatkan sijil kelahiran menjadi sangat sukar.
Mukmin turut mempersoalkan mengapa pemohon tidak dimaklumkan tentang laluan rayuan atau kaedah pengesahan lain seperti ujian DNA bagi mengesahkan pertalian antara anak dan ibu.
Menurut beliau, situasi seperti ini menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah ramainya individu tanpa dokumen di Sabah, apabila masyarakat akhirnya berputus asa selepas berdepan proses yang panjang dan tidak jelas.
Mukmin berkata beliau bersedia bertemu dengan mana-mana pihak di Kementerian Dalam Negeri Malaysia bagi membincangkan penyelesaian terhadap kes tersebut.
Katanya, isu individu tanpa dokumen bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi turut melibatkan maruah dan hak asas seseorang manusia untuk memiliki identiti dan pengiktirafan sebagai warganegara.
#TawauKini




