PUTRAJAYA – Sebanyak 34 daripada 50 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia telah dipilih sebagai penerima Dana Inovasi Media Fasa 1 dalam satu majlis yang berlangsung di sini, semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah, berkata dana berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada inovasi serta memperkukuh daya saing industri media tempatan dalam menghadapi landskap digital yang semakin mencabar.

Menurut beliau, industri media kini melalui perubahan pesat susulan perkembangan teknologi digital, perubahan corak pengguna mendapatkan maklumat serta tekanan terhadap model perniagaan media tradisional.
“Organisasi dan pengamal media perlu terus menyesuaikan diri, berinovasi dan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan, berkualiti serta dipercayai,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran tersebut.
Dana Inovasi Media ini bertujuan memperkasa organisasi media untuk meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan, di samping memperkukuh keupayaan menghadapi cabaran semasa. Empat skop utama ditawarkan melalui pembiayaan ini meliputi latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta kemudahan sokongan, selain penyelidikan dan pembangunan kandungan.

Dalam perkembangan sama, platform media tempatan Tawau, Tawaukini Media Solution (Tawaukini), turut tersenarai sebagai salah satu penerima dana berkenaan.
Ketua Pengarang Tawaukini, Salam Undong, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas usaha membangunkan agensi media di negara ini, khususnya dalam membantu platform media berskala kecil.
“Ini merupakan satu peluang besar untuk kami menambah baik kualiti penyampaian maklumat seiring dengan peredaran masa. Kami amat terharu kerana platform media kecil dari Tawau turut mendapat perhatian melalui dana ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak Tawaukini komited untuk memanfaatkan dana tersebut sebaik mungkin bagi menyalurkan maklumat yang tepat serta mendidik masyarakat.
Selain Tawaukini, beberapa organisasi media dari Sabah turut menerima dana ini antaranya Utusan Borneo, The Borneo Post, See Hua Daily News serta Sabah News Today.
Salam Undong turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua agensi media dari Sabah dan seluruh Malaysia yang terpilih sebagai penerima Dana Inovasi Media Fasa 1.
Pelaksanaan dana ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem media tempatan agar terus relevan, berdaya saing dan berintegriti dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
